Bursa Malaysia susut ke paras terendah dalam tempoh 15 bulan - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia susut ke paras terendah dalam tempoh 15 bulan

BURSA Malaysia jatuh ke paras terendah sejak Ogos 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia jatuh ke paras terendah dalam tempoh 15 bulan pada Jumaat, susulan tekanan jualan di Wall Street yang menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Semalam, FBM KLCI ditutup pada 1,556.51 mata, susut 9.65 mata berbanding penutup Khamis pada 1,566.16 mata.

Paras itu merupakan yang terendah sejak 8 Ogos 2025, apabila FBM KLCI kali ditutup pada paras 1,556 mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, FBM KLCI masih berada dalam wilayah penurunan harga, dengan sentimen pasaran terus dibayangi ketidaktentuan luaran dan kebimbangan terhadap kestabilan politik domestik.

“Jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi serta perkembangan politik susulan pilihan raya negeri baru-baru ini turut mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan kerajaan.

“Keadaan itu berpotensi meningkatkan premium risiko politik dan terus memberi tekanan kepada sentimen pelabur,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Tambahnya, tekanan jualan turut melanda pasaran serantau selepas ketiga-tiga indeks utama Wall Street ditutup pada paras terendah dalam tempoh beberapa bulan, susulan kebimbangan terhadap penilaian saham berkaitan AI yang dianggap terlalu tinggi serta sekatan eksport cip canggih AS kepada pusat data.

Dalam perkembangan berkaitan, Hong Leong Investment Bank berkata, saham teknologi Malaysia kembali mencatatkan penurunan selepas merekodkan pemulihan selama dua hari dagangan.

“Pengeluar peralatan semikonduktor, ViTrox Corporation Berhad, susut lebih empat peratus kepada RM8.90, manakala Indeks Teknologi Bursa Malaysia yang menjejaki lebih 50 saham dalam sektor itu merosot 3.5 peratus.

“Press Metal Aluminium Holdings Berhad pula menjadi antara penyumbang kerugian terbesar dalam kalangan komponen FBM KLCI apabila susut hampir enam peratus kepada RM6.32,” katanya. 

Tekanan terhadap saham teknologi turut mencerminkan peningkatan persoalan pelabur mengenai keupayaan pelaburan besar-besaran dalam infrastruktur AI untuk menjana keuntungan.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur dijangka semakin mengutamakan syarikat yang mempunyai prospek penjanaan pendapatan lebih jelas serta keupayaan memberikan pulangan modal mampan.

Dalam pada itu, M+ Global oleh Malacca Securities berkata, FBM KLCI dijangka bergerak berhati-hati susulan kebimbangan baharu terhadap risiko global, dengan sektor teknologi berkemungkinan terus berdepan penelitian pelabur susulan laporan penjual singkat yang mendakwa Advanced Micro Devices (AMD) terbabit dalam kemungkinan pelanggaran sekatan eksport cip Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan prestasi kewangan syarikat tertentu masih berpotensi menawarkan peluang kepada pelabur meskipun sentimen pasaran keseluruhan kekal berhati-hati.

“Antara yang diberi perhatian ialah Kossan Rubber Industries Berhad apabila keuntungan bersih suku ketiga 2026 melonjak 131 peratus tahun ke tahun kepada RM87.4 juta, disokong peningkatan harga jualan purata sarung tangan, jumlah jualan dan sumbangan lebih kukuh daripada segmen bilik bersih.

“Selain itu, SDCG turut menawarkan pendedahan kepada sektor sistem pengurusan bangunan dan penyelesaian kecekapan tenaga apabila hasil bagi suku kedua 2026 meningkat 115.4 peratus tahun ke tahun kepada RM10.6 juta.

“Kontrak naik taraf sistem pengurusan bangunan bernilai RM18.5 juta turut meningkatkan keterlihatan projek syarikat itu, meskipun prestasi keuntungan yang lebih lemah bagi separuh pertama tahun ini perlu terus dipantau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini