ISU kos sara hidup di Malaysia sering dikaitkan dengan kenaikan harga barangan, kadar inflasi, pendapatan isi rumah dan kuasa beli masyarakat.
Walaupun semua aspek ini penting, saya berpandangan perbincangan mengenai kos sara hidup perlu turut memberikan perhatian kepada satu dimensi yang tidak kurang pentingnya, iaitu perbezaan beban tanggungan, keperluan penjagaan dan kemampuan sebenar sesebuah keluarga untuk mengekalkan kesejahteraan hidup.
Dalam realiti kehidupan hari ini, dua keluarga yang mempunyai pendapatan bulanan yang sama tidak semestinya menikmati tahap kemampuan kewangan dan kualiti hidup yang setara.
Sebagai contoh, keluarga berpendapatan RM8,000 sebulan tanpa anak atau tanggungan lain mempunyai struktur perbelanjaan berbeza berbanding keluarga yang mempunyai tiga anak masih bersekolah serta ibu bapa yang memerlukan bantuan kewangan dan penjagaan kesihatan.
Keluarga kedua bukan sahaja perlu menanggung perbelanjaan asas, malah kos pendidikan anak-anak, rawatan kesihatan ibu bapa dan penjagaan harian. Situasi ini menunjukkan bahawa pendapatan sama tidak semestinya menghasilkan kemampuan hidup yang sama.
Pada pandangan saya, antara kelompok yang paling jelas berhadapan dengan pertindihan tanggungjawab ini ialah generasi sandwic, iaitu golongan dewasa yang perlu menyara anak-anak dan pada masa sama membantu ibu bapa yang semakin berusia, selain mengurus keperluan hidup serta perancangan kewangan sendiri.
Fenomena ini bukan perkara baharu dalam masyarakat Malaysia yang mengamalkan budaya kekeluargaan dan tanggungjawab terhadap ibu bapa.
Bagaimanapun, perubahan demografi, peningkatan jangka hayat dan keperluan penjagaan warga emas yang semakin kompleks menjadikan tanggungjawab tersebut lebih mencabar.
Menurut Malaysia Pulse Survey Report 2025 oleh Aon, sebanyak 51 peratus responden berkahwin dan mempunyai anak dalam kalangan 507 pekerja yang dikaji turut melaporkan tanggungjawab kewangan terhadap ibu bapa mereka.
Dapatan ini memberikan gambaran mengenai tanggungjawab kewangan merentas generasi dalam kalangan sebahagian pekerja di Malaysia.
Tanggungjawab generasi sandwic bukan sekadar melibatkan sumbangan kewangan bulanan, malah merangkumi kos rawatan, ubat-ubatan, pengangkutan ke hospital dan penjagaan harian ibu bapa.
Dalam pada itu, antara implikasi jangka panjang yang perlu diberikan perhatian ialah hubungan antara tanggungjawab penjagaan keluarga dengan kemampuan menyediakan simpanan persaraan.
Bagi individu dalam generasi sandwic, sebahagian pendapatan mungkin perlu digunakan untuk memenuhi keperluan anak-anak dan membantu ibu bapa.
Dalam keadaan sumber kewangan yang terhad, simpanan persaraan atau perlindungan kewangan diri sendiri mungkin menjadi keutamaan yang ditangguhkan. Sekiranya keadaan ini berlaku secara berterusan, terdapat risiko individu memasuki usia persaraan dengan simpanan yang tidak mencukupi.
Keadaan tersebut berpotensi mewujudkan kitaran kebergantungan kewangan antara generasi, apabila anak-anak pada masa hadapan pula perlu menanggung keperluan kewangan ibu bapa mereka.
Saya tidak melihat tanggungjawab menjaga ibu bapa sebagai satu beban yang perlu dielakkan. Sebaliknya, ia mencerminkan nilai kekeluargaan dan tanggungjawab antara generasi yang perlu diseimbangkan dengan kemampuan serta kesejahteraan kewangan individu.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Ts. Dr. Mohammad Mujaheed Hassan











