IPOH: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian membabitkan seorang pelajar lelaki tingkatan tiga yang ditemui maut dalam bangunan sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, penelitian terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut tidak menemukan sebarang unsur buli.
Katanya, pemeriksaan lanjut juga tidak menemukan sebarang kesan kecederaan lain pada tubuh mangsa.
“Pihak sekolah telah beri tiga siri rakaman video di bilik sakit tersebut dan kita lihat tiada unsur jenayah ataupun kalau dikatakan buli, memang tidak wujud.
“Apabila kita lihat rakaman CCTV, perbuatan yang dilakukan mangsa terbabit adalah atas tindakannya sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, proses bedah siasat terhadap mayat pelajar berusia 15 tahun itu selesai dijalankan di Unit Forensik Hospital Taiping, dengan punca kematian dikenal pasti akibat jerutan pada leher.
Katanya, setakat ini polis telah merakam percakapan 11 individu terdiri daripada enam pelajar dan lima guru, selain turut mengambil keterangan ibu bapa mangsa bagi membantu siasatan.
“Mangsa dipercayai kurang sihat dan ditempatkan di bilik sakit sekolah berkenaan sejak Isnin lalu sebelum ditemukan seorang pelajar kira-kira pukul 2.45 petang ketika mahu ke tandas.
“Berdasarkan penelitian rakaman CCTV, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.35 pagi,” katanya.
Sementara itu, bapa pelajar lelaki yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, berharap siasatan berhubung kematian anaknya itu dijalankan secara telus dan menyeluruh.
Mohd. Idzwan Razali, 48, berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian remaja terbabit.
“Saya tidak boleh ulas lebih, cuma mahu siasatan yang telus dan menyeluruh, itu harapan saya.
“Pihak sekolah pun ada terangkan (situasi yang berlaku) namun semua perkara masih tertakluk kepada hasil siasatan dan bedah siasat. Jadi, saya tak boleh buat sebarang andaian,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Taiping, di sini semalam.
Menurut Mohd. Idzwan, dia dimaklumkan mengenai kejadian menimpa Muhammad Al Fatih oleh pihak polis dan pengetua sekolah sekitar pukul 3 hingga 4 petang kelmarin.- UTUSAN











