SEREMBAN: Status peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar dijangka diketahui hari ini selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu selesai menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir buat kali kedua.
Setakat semalam, Ismail yang mengutuskan surat peletakan jawatannya kepada Tuanku Muhriz, Isnin lalu masih menjalankan tugas seperti biasa.
Ketika ditemui selepas melancarkan Bulan Zakat Negeri Sembilan anjuran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini, Ismail enggan menjawab soalan sama ada peletakan jawatannya telah diterima Tuanku Muhriz dan kini melaksanakan peranan sebagai caretaker (penjaga) sehingga Menteri Besar baharu mengangkat sumpah.
Ismail juga mengunci mulut ketika ditanya berkenaan sesi menghadap pertama di Istana Hinggap, Selasa lalu.
Ismail berkata, semuanya akan terjawab selepas majlis menghadap Tuanku Muhriz hari ini selesai berlangsung.
“Tunggu esok (hari ini),” katanya ringkas.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memaklumkan telah menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan mengenai perkenan Tuanku Muhriz terhadap peletakan jawatan Ismail.
Berikutan itu, kedudukan Ismail menjadi tanda tanya sama ada kekal sebagai Menteri Besar atau sebaliknya.
Selasa lalu, Istana Negeri Sembilan mengesahkan majlis menghadap akan berlangsung di Istana Hinggap pada pukul 10 pagi hari ini.
Ismail mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan Kesembilan pada 2 Ogos lalu di hadapan Tuanku Muhriz selepas keputusan pilihan raya negeri (PRN) menyaksikan gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan NegerI (DUN) untuk membentuk kerajaan negeri.
Dalam pada itu, pakar perlembagaan, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, berdasarkan penelitian terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, tiada peruntukan khusus yang menetapkan peletakan jawatan Menteri Besar perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Beliau berpandangan, keperluan Menteri Besar menghadap untuk memaklumkan keputusan itu lebih kepada amalan istana yang berasaskan diplomasi dan kesantunan.
“Pada saya, ia merupakan amalan istana yang mahukan Menteri Besar berdepan dengan Yang di-Pertuan Besar untuk memaklumkan peletakan jawatan tersebut.
“Peruntukan dalam UUTKNS 1959 agak longgar dalam perkara ini dan lebih kepada diplomasi serta courtesy (kesantunan),” katanya.
Sementara itu, UMNO Negeri Sembilan menyokong Ismail kekal menerajui kerajaan negeri dengan syarat segala isu berbangkit perlu ditangani segera.
Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa berkata, kemelut kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar perlu diselesaikan supaya pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan lancar.
Katanya, penyelesaian segera juga penting bagi membolehkan Sidang DUN diadakan, khususnya untuk pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.
“Sekiranya beliau dipilih kita juga bersyukur dan berharap beliau dapat menyelesaikan segala isu berkaitan di Negeri Sembilan, khususnya bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan dengan baik.
“Pada masa sama, perkara ini perlu disegerakan kerana kita perlu mengadakan Sidang DUN, khususnya bagi membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan.
“Kita perlu melaksanakannya untuk tahun ini dan sebelum memasuki tahun depan. Jika sehingga Februari masih tidak bersidang, DUN boleh terbubar dengan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen semalam.
Antara nama yang disebut-sebut berpotensi memikul tugas Menteri Besar Negeri Sembilan Ke-10 ialah ADUN Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin; ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias; ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi dan ADUN Kota, Suhaimi Aini. – UTUSAN











