MELAKA: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN) diberi peranan dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka yang baharu.
Seorang daripada mereka dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), manakala dua lagi mengisi jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Timbalan Exco.
ADUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd. Sarif daripada Pas dilantik sebagai Exco yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Alam Sekitar dan Pengurusan Bencana.
Dua lagi wakil PN iaitu ADUN Bemban dari Parti Wawasan Negara (Wawasan), Dr. Yadzil Yaakub pula dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka manakala ADUN Paya Rumput dari Pas, Rafie Ahmad diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO.
Pelantikan itu diumumkan dalam pembentukan barisan pentadbiran kerajaan negeri baharu yang menyaksikan 10 ADUN mengangkat sumpah jawatan, taat setia serta sumpah simpan rahsia Ahli MMKN di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Ayer Keroh di sini semalam.
Barisan Exco baharu itu turut menyaksikan gabungan pemimpin berpengalaman dan muka baharu, selain mengekalkan sebahagian besar kepimpinan yang pernah menganggotai pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, ADUN Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem yang sebelum ini menganggotai barisan Exco bagaimanapun dilantik sebagai Timbalan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang memegang portfolio Pelaburan dan Industri.
Ab. Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara turut mengetuai portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan, Tanah, Pelaburan dan Industri dan akan dibantu ADUN Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem yang mengendalikan tugas-tugas khas.
Turut dilantik sebagai Exco ialah ADUN Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Salleh; ADUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; dan ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Selain itu, ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam; ADUN Ayer Molek, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali; ADUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong selain ADUN Gadek, S. Nadarajah.
Pelantikan itu melengkapkan pembentukan barisan pentadbiran kerajaan negeri selepas BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu apabila menerusi 21 daripada 28 kerusi DUN manakala PN memperoleh tiga kerusi.
Jumlah itu membolehkan gabungan BN dan PN menguasai 24 kerusi DUN sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Ab. Rauf sebelum ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada Ahad lalu bagi meneruskan kepimpinan kerajaan negeri untuk penggal baharu.-UTUSAN.









