5 juta rakyat Malaysia disasar bersedia AI menjelang 2030 - Utusan Malaysia

5 juta rakyat Malaysia disasar bersedia AI menjelang 2030

Lembaga pengarah dan pengurusan kanan PEOPLElogy Berhad bersama sebuah robot humanoid pada majlis makan malam gala Asia AI Excellence Awards 2026 di Marriott Petaling Jaya (Aura Pixel)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai lima juta rakyat Malaysia disasarkan mengisytiharkan kesediaan menguasai kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030 menerusi gerakan nasional yang diterajui PEOPLElogy Berhad.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Allen Lee berkata, sasaran itu bukan sekadar meningkatkan kesedaran mengenai teknologi AI, sebaliknya memastikan rakyat mempunyai keupayaan menggunakannya bagi meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya saing dalam pekerjaan serta perniagaan.

Beliau berkata, usaha berkenaan memerlukan kerjasama lebih luas membabitkan sektor korporat, agensi kerajaan, universiti, peneraju teknologi dan pertubuhan komuniti dalam tempoh 36 bulan akan datang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memahami apa yang mampu dilakukan oleh AI tidak lagi memadai. Kita perlu bertanya bagaimana AI boleh menjadikan perniagaan kita lebih berdaya saing, bagaimana ia boleh memperkukuh produktiviti dan inovasi, serta bagaimana kita boleh menyediakan tenaga kerja untuk peluang yang menanti.

“Teknologi semata-mata tidak mengubah sesebuah organisasi. Manusialah yang mengubahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Asia AI Excellence Awards sempena penutup Minggu Kesediaan AI Kebangsaan 2026 (NAIRW 2026) di Marriott Petaling Jaya, malam tadi.

Program lima hari anjuran PEOPLElogy Berhad itu dirasmikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan menghimpunkan pemimpin kerajaan, ketua korporat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pelajar universiti serta golongan bekerja.

Menurut Allen, inisiatif I’m AI READY bukan sekadar acara atau program latihan, sebaliknya satu gerakan nasional bagi memastikan rakyat Malaysia bersedia menghadapi masa depan yang dipacu teknologi AI.

Katanya, sepanjang 36 bulan akan datang, pihaknya menyasarkan pembentukan rangkaian kerjasama lebih luas bagi menterjemahkan kesediaan AI kepada keupayaan sebenar, peluang pekerjaan dan transformasi yang boleh diukur.

“Ini bukan sekadar inisiatif PEOPLElogy. Ini gerakan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Turut hadir, Naib Presiden Kanan Hal Ehwal Korporat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Fadzli Abdul Wahit.

Beliau berkata, misi Malaysia untuk menjadi negara AI menjelang 2030 bukan sekadar menerima pakai teknologi baharu.

Katanya lagi, ia juga bertujuan memperkukuh ekonomi, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan peluang. Beliau merujuk kepada lonjakan tujuh anak tangga negara ke kedudukan ke-27 daripada 70 ekonomi dalam IMD World Digital and AI Ranking 2026, iaitu kedua di ASEAN selepas Singapura.

“Cabaran seterusnya ialah memastikan penerimagunaan AI memberikan nilai perniagaan yang boleh diukur. Organisasi perlu beralih daripada sekadar mencuba alat AI kepada mengintegrasikan AI ke dalam proses perniagaan mereka. Mereka perlu bermula dengan masalah yang ingin diselesaikan, menetapkan objektif yang jelas dan mengukur hasilnya,” katanya.

Menurut Fadzli, kesediaan AI ialah tanggungjawab bersama. Kerajaan menyediakan infrastruktur dan persekitaran yang kondusif, manakala perniagaan mengenal pasti kemahiran yang diperlukan dan memastikan latihan kekal relevan dengan industri.

“AI mesti berkhidmat untuk rakyat, dengan pertimbangan manusia kekal sebagai teras. Kejayaan kita tidak boleh diukur melalui penerimagunaan AI semata-mata. Ia mesti diukur melalui pekerjaan yang lebih baik, perniagaan yang lebih produktif dan tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan,” katanya.

Asia AI Excellence Awards merupakan program anugerah peringkat Asia pertama anjuran PEOPLElogy.

Ia menerima lebih 300 pencalonan, dan 36 finalis berjaya ke peringkat akhir.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini