PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi susulan penahanan lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditahan polis susulan peneuan lima bagasi dan sebuah kotak dipercayai mengandungi dadah ditemukan di Pangkalan Udara Subang, kelmarin.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang terbukti terlibat atau bersubahat dalam sebarang aktiviti jenayah.
Katanya, Kementerian Pertahanan sentiasa mengutamakan prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap tindakan, termasuk dalam pengendalian kes ini.
“Operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan dalaman akan terus dipergiatkan bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal bebas daripada kegiatan dadah.
“Malah, TUDM secara berkala melaksanakan pemeriksaan dalaman bagi memastikan organisasi sentiasa bebas daripada kegiatan dadah,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Polis menahan 11 individu termasuk lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan enam orang awam bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengedaran 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM4.83 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua tangkapan dilakukan menerusi beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan, Sabah, pada 17 November lalu.
Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, penemuan kali ini merupakan yang pertama seumpamanya ketika pemeriksaan rutin dijalankan.
Jelasnya, penemuan itu dikesan petugas TUDM ketika menjalankan pemeriksaan rutin terhadap bagasi yang akan dimuatkan ke dalam pesawat.
Beliau berkata, penemuan berkenaan segera dilaporkan kepada Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM sebelum pihak berkenaan menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM di Bukit Aman.
“Pada kira-kira pukul 5.20 petang hari sama, pasukan PDRM tiba di lokasi dan mengesahkan bahan yang ditemukan merupakan dadah berbahaya.
“Kesemua lima bagasi dan sebuah kotak disita sebagai bahan bukti, manakala lima anggota TUDM yang disyaki terlibat ditahan polis,” katanya.
Katanya, TUDM mengambil tindakan segera dengan menyerahkan kes berkenaan kepada PDRM untuk siasatan lanjut serta akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan.-UTUSAN











