Tukang cat sekali lagi ditahan kerana memandu dibawah pengaruh dadah

Tukang cat sekali lagi ditahan kerana memandu dibawah pengaruh dadah

TANGKAP layar video tular yang memaparkan seorang pemandu dipercayai berada dalam keadaan khayal selepas melanggar dua buah kenderaan Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran pekan Tanjung Ipoh, Kuala Pilah pada 7 November lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Lelaki yang sebelum ini didakwa atas empat pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah selepas menyebabkan kemalangan membabitkan lima kenderaan, sekali lagi terbabit dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran pekan Tanjung Ipoh, di sini pada 7 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, polis menemukan bahan disyaki dadah jenis cecair MDMA dan Erimin 5 dalam kereta yang dipandu lelaki berusia 39 tahun berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Bahau sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Impak pelanggaran menyebabkan MPV berkenaan menggelongsor ke hadapan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kereta lagi satu.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap pemandu itu, polis menemukan bahan disyaki dadah jenis cecair MDMA dan Erimin 5 dan dia merupakan suspek yang sama yang terlibat dalam kemalangan pada 22 Oktober lalu ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustafah berkata, pemandu berkenaan ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah untuk tindakan serta siasatan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan ketiga-tiga pemandu yang terlibat, bagaimanapun semua kenderaan mengalami kerosakan.

“Kes ini disiasat dibawah Kaedah 10, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59),” katanya.

Terdahulu, video berkenaan tular yang memaparkan seorang lelaki dilihat dipercayai berada dalam keadaan khayal selepas melanggar dua buah kenderaan di pekan Tanjung Ipoh pada 7 November lalu.

Sebelum ini, media melaporkan tertuduh, didakwa atas empat pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah selepas kereta dipandunya secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Tanjung Ipoh pada 22 Oktober lalu.

Tertuduh mengaku bersalah selepas kesemua kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Marlissa Mohd Fahmy. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini