Di sebalik beg mewah, tersimpan kisah kesempitan hidup

Di sebalik beg mewah, tersimpan kisah kesempitan hidup

Hieda (tengah) mengalukan kunjungan pelanggan sempena Preloved Bag Festival di Perdana Industrial Park, Puchong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Tidak semua beg tangan berjenama yang dibawa ke butik Hieda Natasha Monarchy mempunyai cerita mengenai kemewahan atau keinginan mendapatkan koleksi terbaharu, sebaliknya ada yang diserahkan kerana pemiliknya terdesak mendapatkan wang bagi menampung kos rawatan dan keperluan keluarga.

Pengasasnya, Hieda Natasha berkata, setiap beg yang diterima mempunyai kisah tersendiri, malah pengalaman bertemu pelanggan dalam kesusahan turut mengubah perspektifnya terhadap perniagaan barangan terpakai atau preloved.

Bekas pramugari itu menjelaskan, semakin ramai pelanggan datang bukan sekadar mahu menjual beg untuk mendapatkan rekaan baharu, tetapi memerlukan wang bagi menampung kos perubatan dan menyelesaikan beban kewangan keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semalam (Jumaat), ada pelanggan meminta proses pengesahan ketulenan disegerakan dan merayu supaya harga dinaikkan sedikit kerana anaknya menghidap kanser serta memerlukan wang untuk pembedahan, jadi mana yang kami boleh bantu dan sesuaikan, Insya-Allah kami cuba bantu,” katanya.

Beliau ditemui media sempena Hieda Natasha Monarchy 11.11 Preloved Bag Festival 2026 di Perdana Industrial Park, Taman Putra Perdana, yang berlangsung dari 7 hingga 11 November lalu.

Festival berkenaan menyasarkan pengumpulan 10,000 beg berjenama preloved menerusi aktiviti pembelian, jualan semula dan konsainan, selain memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan barangan mewah pada harga lebih berpatutan.

Kemuncak festival pada 11 November menawarkan 40 pakej umrah tajaan penuh kepada pelanggan bertuah serta lima hadiah jongkong emas bagi kategori jual beli semula dan konsainan sebagai penghargaan terhadap sokongan komuniti sepanjang tahun.

Hieda turut berkongsi kisah seorang pelanggan yang membawa tujuh beg Coach tulen untuk mendapatkan wang bagi melangsaikan tunggakan bil elektrik rumah demi memastikan keperluan anak-anaknya tidak terjejas.

Pelanggan itu memerlukan RM2,100, sedangkan nilai pasaran kesemua beg berkenaan hanya sekitar RM1,000 lebih, namun Hieda cuba mencari jalan untuk membantu mengikut kemampuan perniagaannya.

“Dalam situasi begitu, kami cuba bertolak ansur dan membantu sedaya mungkin kerana bagi saya, kita bukan sekadar melihat beg, tetapi juga perlu memahami keperluan orang yang datang kepada kita,” katanya.

Pengalaman berkenaan menjadi antara titik penting dalam perjalanan Hieda membangunkan perniagaan beg preloved yang kini bukan sahaja menawarkan peluang menjual semula koleksi, malah membantu pemilik mendapatkan nilai daripada barangan yang tidak lagi digunakan.

Menurutnya, masih ramai pemilik beg mewah tidak mengetahui saluran sesuai untuk menjual semula koleksi mereka apabila berdepan masalah kewangan, walaupun barangan berkenaan masih mempunyai nilai pasaran.

“Ramai yang membeli beg baharu di butik dengan harga puluhan ribu ringgit, tetapi apabila memerlukan wang, mereka tidak mempunyai tempat untuk menjualnya semula, sebab itu kami menyediakan platform ini termasuk perkhidmatan membeli semula, konsainan dan baik pulih beg,” katanya.

Pelbagai jenama beg mewah yang ditawarkan termasuk Prada, LV dan Gucci.

Sebelum menceburi perniagaan berkenaan, Hieda pernah berkhidmat sebagai pramugari selama 11 tahun sebelum beralih menjadi pembeli persendirian (personal shopper) yang mendapatkan barangan dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Pengalaman itu kemudian membuka ruang kepadanya mengembangkan perniagaan beg preloved sejak tiga tahun lalu, selain menawarkan perkhidmatan spa dan pembaikan bagi memanjangkan tempoh penggunaan beg.

Bagaimanapun, beliau mengakui perjalanan membina perniagaan bukan tanpa cabaran, termasuk pengalaman ditipu yang mengajarnya tentang kepentingan ketelitian, kepercayaan dan ketelusan dalam industri barangan mewah terpakai.

Bagi menjamin keyakinan pelanggan, setiap beg yang diterima akan melalui proses pengesahan ketulenan, manakala jaminan pulangan wang penuh diberikan sekiranya barangan berkenaan didapati tidak asli.

Hieda turut percaya industri barang terpakai  (preloved) mempunyai potensi untuk berkembang lebih luas sekiranya pemain dalam bidang itu saling bekerjasama, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai individu menjana pendapatan.

Baginya, kejayaan perniagaan bukan hanya diukur berdasarkan jumlah beg yang berjaya dijual, sebaliknya turut dinilai menerusi keupayaan membantu pelanggan ketika berdepan kesukaran serta membina hubungan berasaskan kepercayaan.

“Bagi saya, kejayaan bukan untuk dinikmati seorang diri, lebih ramai kita bekerjasama dan membantu, lebih banyak manfaat yang boleh dikongsi bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini