PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 menyaksikan parti-parti politik berusaha menampilkan calon muda sebagai wajah baharu perjuangan mereka.
Kononnya mahu membawa perubahan, memberi ruang kepada generasi baharu dan mendengar suara anak muda. Tetapi persoalannya, adakah mereka benar-benar mahu melakukan perubahan atau sekadar mahu menjual wajah muda untuk mendapatkan undi?
Maklumlah, apabila pilihan raya tiba, semua parti tiba-tiba menjadi mesra anak muda. Yang berusia pun mula bercakap tentang masa depan generasi baharu.
Calon muda memang menarik perhatian. Mereka dilihat lebih bertenaga, mempunyai idea segar dan dekat dengan perkembangan semasa. Namun, jangan terlalu cepat menganggap usia muda sebagai jaminan perubahan.
Rambut mungkin belum beruban tetapi pemikiran politik belum tentu berbeza. Ada yang muda daripada segi umur tetapi sudah pandai bermain politik lama. Pandai berjanji, pandai berpidato dan paling penting, pandai mengikut rentak orang yang lebih berkuasa.
Lebih menarik, parti-parti politik sering menjadikan anak muda sebagai bahan kempen. Ketika berucap, mereka bercakap tentang peluang pekerjaan, gaji lebih baik, perumahan mampu milik dan masa depan generasi muda. Tetapi apabila tiba masa memilih calon, berapa ramai anak muda benar-benar diberikan peluang?
Jika adapun, sebahagiannya masih perlu menunggu lampu hijau daripada pemimpin lama. Nampaknya, anak muda boleh menjadi penggerak kempen tetapi belum tentu layak menentukan arah perjuangan. Lebih malang, ada parti yang meletakkan calon muda sekadar untuk mencantikkan poster pilihan raya.
Wajah baharu dipamerkan, slogan perubahan dilaungkan tetapi keputusan politik masih ditentukan oleh kelompok lama. Calon muda pula mungkin sekadar menjadi pelakon tambahan dalam sebuah drama yang skripnya sudah lama ditulis. Kalau menang, pemimpin lama mendapat kredit.
Kalau kalah, calon muda pula yang dipersalahkan kerana gagal menarik undi. Hakikatnya, pengundi muda bukan lagi kelompok yang mudah diperdaya dengan video TikTok, poster menarik atau ceramah yang penuh slogan. Mereka mahu tahu apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki kehidupan. Mana peluang pekerjaan dengan gaji munasabah? Mana rumah yang mampu dibeli?
Mengapa masih ramai anak muda terpaksa meninggalkan Melaka untuk mencari pekerjaan di negeri lain? Jangan hanya pandai menyebut anak muda sebagai aset negara tetapi nasib mereka terus menjadi bahan ucapan setiap kali pilihan raya. PRN Melaka sepatutnya menjadi medan untuk calon muda membuktikan kemampuan.
Tidak kira mereka daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Parti Bersama Malaysia (Bersama), semuanya perlu dinilai berdasarkan kemampuan, integriti dan tawaran kepada rakyat. Jangan ada yang berasa dirinya lebih layak hanya kerana berusia 25 atau 30 tahun.
Usia muda bukan lesen untuk mendapat undi percuma. Begitu juga usia tua bukan alasan untuk terus memonopoli kuasa. – UTUSAN










