Exco dilantik Ketua Menteri, bukan ditentukan desakan politik

Exco dilantik Ketua Menteri, bukan ditentukan desakan politik

ALLEX SEAH SHOO CIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka ditentukan sepenuhnya oleh Ketua Menteri dan bukan melalui sebarang desakan politik daripada pihak luar. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, pelantikannya sebagai Exco dibuat atas jemputan dan kepercayaan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh selaras prinsip kerajaan perpaduan di peringkat negeri. 

Menurutnya, sebarang gesaan supaya beliau meletakkan jawatan tidak mempunyai asas dan tidak menjejaskan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.

“Jawatan Exco ini adalah hasil pelantikan Ketua Menteri, ia bukan ditentukan oleh tekanan atau desakan mana-mana parti atau individu luar.

“Selagi Ketua Menteri memberi kepercayaan dan pucuk pimpinan parti saya bersetuju, tidak timbul langsung soal peletakan jawatan,” katanya.

Katanya lagi,  kerajaan perpaduan di Melaka dibentuk atas semangat kerjasama rentas parti demi kestabilan politik dan kebajikan rakyat, bukan untuk melayani sentimen politik yang hanya mencetuskan kekeliruan.

“Prinsip kerajaan perpaduan ini jelas sejak awal. Fokus kami adalah bekerja untuk rakyat dan mengukuhkan pentadbiran kerajaan negeri supaya terus stabil.

“Sentimen politik yang berlebihan hanya akan mengganggu tumpuan kepada kerja-kerja masyarakat dan pembangunan negeri,” ujarnya.

Khamis lalu, media melaporkan Pas Melaka menggesa DAP negeri itu membuktikan pendirian moral dan integriti politik mereka dengan melepaskan jawatan Exco dan Timbalan Speaker DUN Melaka.

Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sedik, berkata ia selari tindakan berprinsip Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh  yang telah meletakkan jawatan sebagai Exco negeri Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN