Ismail tidak maklum hasrat berundur kepada UMNO negeri - Utusan Malaysia

Ismail tidak maklum hasrat berundur kepada UMNO negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan hanya dimaklumkan oleh kepemimpinan tertinggi parti berhubung hasrat Datuk Ismail Lasim untuk meletak jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan tidak memaklumkan hasrat itu kepada beliau dan UMNO negeri.

“Saya hanya dimaklumkan oleh pimpinan tertinggi parti hasrat Yang Amat Berhormat (Ismail) untuk meletak jawatan. Beliau (Ismail) secara peribadi tak ada maklumkan kepada UMNO negeri,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mesyuarat turut dihadiri ADUN Perikatan Nasional (PN).

Semalam, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, memaklumkan Ismail telah mengutus surat peletakan jawatan Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 16 November.

Zambry berkata, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menerima salinan surat peletakan jawatan berkenaan.

Jalaluddin juga enggan mengulas lanjut dakwaan bahawa Ismail dipaksa meletak jawatan.

“Tumpuan kita untuk pastikan supaya kerajaan negeri dapat diurus dengan baik dan juga proses ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya juga enggan mengulas kenyataan istana Negeri Sembilan belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Ismail itu.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu menegaskan bahawa pihaknya menghormati keputusan Ismail dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat serta sumbangan beliau sepanjang menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Tambahnya, UMNO Negeri Sembilan akan terus memberi kerjasama penuh kepada pucuk pimpinan tertinggi parti bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar dan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Katanya, dalam memastikan proses berjalan lancar, UMNO Negeri Sembilan memberi keyakinan atas kebijaksanaan dan akan menjunjung titah Tuanku Muhriz.

“Seluruh kepimpinan UMNO negeri menyeru semua pihak terus bertenang dan menghormati proses yang sedang berjalan,” katanya menambah dalam apa jua keadaan, kepentingan rakyat tidak boleh diketepikan.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa krisis istana dan pentadbiran di negeri ini dapat diatasi dengan baik, berhemah dan harmoni, sekali gus menemui titik noktah.

Berhubung calon pengganti, Jalaluddin berkata, ia bergantung kepada cadangan kepimpinan tertinggi parti dan perkenan Tuanku Muhriz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini