PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu pensyarah dan mahasiswa yang terlibat menghasilkan sesuatu inovasi diberikan royalti sewajarnya sekiranya hasil penyelidikan mereka berjaya dikomersialkan.
Beliau berkata, sumbangan kedua-dua pihak perlu dihargai, terutama apabila sesuatu idea berjaya dikembangkan daripada peringkat penyelidikan kepada prototaip dan seterusnya dipasarkan.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pihak industri juga perlu memastikan pensyarah yang menghasilkan inovasi diberikan honorarium tinggi, manakala mahasiswa yang membantu turut menerima royalti.
“Jangan lupa yang membantu pensyarah ialah pelajar-pelajar, mahasiswa-mahasiswi yang turut membantu. Mereka juga wajib diberikan royalti,” katanya ketika berucap merasmikan Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2026 di sini hari ini.
Katanya, KPT dan universiti juga perlu menyediakan bimbingan serta mencari rakan pelaksana bagi memastikan hasil penyelidikan tidak terhenti selepas penemuan dihasilkan.
Ahmad Zahid berkata, penyelidik dan pensyarah tidak seharusnya dibiarkan bergerak sendirian selepas menghasilkan penemuan, termasuk berdepan kekangan terhadap peluang kenaikan pangkat.
“Saya yakin dan bermakna kalau ini boleh dilakukan, boleh sambung satu tahun lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mahu FOI berhenti sebagai festival, atau penyelidikan berakhir sebagai tesis di perpustakaan sebaliknya perlu diperkembang untuk memperbaiki dasar negara dan menyelesaikan masalah rakyat.
“Pertama, setiap idea yang berpotensi mesti mempunyai laluan yang jelas daripada idea kepada prototaip, prototaip kepada paten, dan seterusnya kepada industri atau dasar.
“Sediakan bimbingan, pembiayaan dan rakan pelaksana pada setiap peringkat. Jangan biarkan penyelidik
berjalan sendiri selepas menghasilkan penemuan.
“Kedua, jadikan cabaran besar negara sebagai misi bersama. Keterjaminan makanan, banjir dan penguasaan teknologi kritikal mesti mempertemukan kepakaran terbaik universiti, industri dan Kerajaan.
“Ketiga, beri inovasi tempatan peluang membuktikan kemampuannya. Saya mahu kementerian dan agensi membuka ruang pengujian bersama industri dan pembiaya,” katanya. – UTUSAN











