Penawaran kerja dalam talian naik 17.8 peratus - Utusan Malaysia

Penawaran kerja dalam talian naik 17.8 peratus

IKLAN pekerjaan dalam talian semakin meningkat menunjukkan sektor pekerjaan yang stabil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 654,655 penawaran pekerjaan dalam talian direkodkan pada suku ketiga 2026 (ST3 2026), meningkat 17.8 peratus berbanding tempoh sama sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, bilangan syarikat yang mengiklankan penawaran pekerjaan turut meningkat kepada 95,102 pada suku ketiga 2026 berbanding 79,510 pada suku kedua 2026.

“Penawaran pekerjaan dalam talian tertumpu kepada kategori Profesional yang merangkumi 47.1 peratus atau 308,137 penawaran pekerjaan pada ST3 2026, berbanding 285,907 penawaran pekerjaan yang direkodkan pada suku kedua 2026.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kategori Juruteknik dan Profesional Bersekutu merekodkan 110,180 penawaran, diikuti oleh Pengurus dengan 96,442 penawaran pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.

Mengikut pecahan jawatan, permintaan lebih tinggi diperhatikan bagi Profesional Pengiklanan dan Pemasaran sebanyak 44,989 penawaran pekerjaan, diikuti Profesional Bersekutu Pentadbiran (29,708), Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif (27,915), Akauntan dan Juruaudit (23,562) serta Pembangun Perisian (18,109).

“Pada masa sama, sektor Perkhidmatan terus mendominasi dengan 49.7 peratus atau 325,520 penawaran pekerjaan pada ST3 2026, menunjukkan peningkatan berbanding 43.9 peratus pada suku kedua 2026.

“Dalam sektor Perkhidmatan, subsektor Perdagangan Borong dan Runcit, Pembaikan Kenderaan Bermotor dan Motosikal merekodkan jumlah penawaran pekerjaan tertinggi dengan 90,613 penawaran,” katanya.

Ia diikuti Aktiviti Profesional, Saintifik dan Teknikal dengan 50,220 penawaran pekerjaan, Aktiviti Perkhidmatan Lain (37,518), Aktiviti Pentadbiran dan Khidmat Sokongan (35,263) serta Pembuatan (30,495).

Dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), tiga pekerjaan tertinggi yang ditawarkan pada ST3 2026 ialah Juruteknik dengan 8,306 penawaran pekerjaan, diikuti Pengurus Jualan (5,001) dan Eksekutif Pemasaran (4,810).

“Begitu juga dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Juruteknik merekodkan penawaran pekerjaan tertinggi iaitu 8,306, diikuti Jurutera (4,343) dan Juruukur Bahan (4,294).

“Sementara itu, bagi pekerjaan di bawah Senarai Pekerjaan Kritikal (COL), Eksekutif Jualan mencatatkan permintaan tertinggi dengan 9,772 penawaran pekerjaan, diikuti Penolong Pengurus (9,520) dan Eksekutif Akaun (9,290),” katanya.

DOSM menambah, analisis data raya tersebut bermanfaat kepada pencari kerja kerana menyediakan maklumat penawaran pekerjaan mengikut bidang, sektor ekonomi, TVET, STEM dan COL. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini