KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hazama menafikan dakwaan kononnya dia sengaja menolak tawaran menyertai program realiti, Gegar Vaganza Fantasia (GVF) kerana merasakan dirinya masih relevan dalam industri muzik tanah air.
Menurut Hazama atau Hazama Ahmad Azmi, 42, keputusan itu dibuat berikutan pertindihan jadual kerja yang telah dipersetujui lebih awal, selain mahu menghormati komitmen terhadap persembahan lain.
“Sebenarnya, saya bukan menolak. Pihak produksi ada menghubungi dan menawarkan untuk mengadakan perbincangan. Cuma, penghujung tahun merupakan tempoh yang agak sibuk bagi penyanyi.
“Jadual mingguan saya sudah dipenuhi pelbagai acara dan tugasan yang dipersetujui lebih awal. Ada klien yang sudah membayar deposit, sama ada secara penuh ataupun separuh. Jadi, saya tidak boleh komited dengan perancangan lain.
“Jadi, dari segi etika dan prinsip kerja, apabila saya sudah memberikan persetujuan, saya perlu menunaikan janji tersebut. Bukannya kerana saya merajuk atau mempunyai masalah dengan mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert Magnum Opus: M. Nasir Dekad Kelima, semalam.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Relakan Jiwa itu turut menolak tanggapan bahawa program pertandingan nyanyian berkenaan hanya menjadi platform buat penyanyi yang semakin tenggelam popularitinya.
“Saya tidak berani memberikan kenyataan seperti itu kerana program tersebut mungkin menjadi satu harapan kepada sesetengah penyanyi. Ada yang melihatnya sebagai platform untuk membuat kemunculan semula, manakala ada juga yang menganggapnya sebagai peluang pekerjaan.
“Perjuangan setiap penyanyi juga tidak sama. Ada yang menyanyi demi kelangsungan hidup, manakala ada yang mahu membuktikan kemampuan diri. Jadi, tidak salah sesiapa pun yang mahu menyertainya,” tegasnya.
Dalam masa sama, bekas peserta Akademi Fantasia Kesembilan (AF9) itu turut menafikan dakwaan kononnya dia tidak dapat menyertai program berkenaan kerana masih terikat dengan kontrak eksklusif sebuah stesen televisyen.
“Saya sekarang bergerak secara bebas dan tidak terikat dengan mana-mana stesen televisyen. Saya boleh bekerjasama dengan mana-mana saluran televisyen di Malaysia.
“Memang dahulu, selepas keluar daripada Akademi Fantasia, saya pernah berada di bawah kontrak Astro, tetapi kontrak tersebut sudah lama tamat,” jelasnya.
Bagaimanapun, penyanyi itu mengakui selepas dua dekad berkecimpung dalam industri seni, dia kini lebih selesa menerima undangan persembahan berbanding menyertai pertandingan nyanyian.
Tambahnya, komitmen pertandingan yang berlangsung selama 10 minggu berturut-turut memerlukan persediaan rapi dan tekanan yang berbeza berbanding persembahan biasa.
“Buat masa sekarang, saya lebih selesa menerima undangan nyanyian dan membuat persembahan. Saya bukanlah seorang yang begitu mahir dalam pertandingan.
“Pada usia 42 tahun dan selepas 20 tahun dalam industri, saya mahu melakukan perkara yang membuatkan saya selesa. Saya juga merasakan tidak perlu lagi membuktikan kemampuan vokal kerana penonton di luar sana sudah mengetahui kebolehan saya.
“Bukan kerana saya angkuh atau merasakan diri lebih hebat daripada orang lain. Sebaliknya, saya sudah menemui hala tuju seni sendiri dan mahu terus membangunkan apa yang saya miliki sekarang.
“Saya sendiri lahir daripada program realiti, jadi saya cukup faham bagaimana komitmen yang diperlukan. Sekiranya jadual benar-benar kosong dan tiada tanggungjawab lain, insya-Allah saya boleh menyertainya,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Hazama bakal menjadi artis jemputan pada konsert Magnum Opus: M. Nasir Dekad Kelima yang dijadualkan berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 5 Disember ini.











