Polis tunggu laporan prestasi guru cabul murid

Polis tunggu laporan prestasi guru cabul murid

AZRY Akmar Ayob (kiri) menyempurnakan majlis kenaikan pangkat dan menyerahkan sijil kepada anggota polis pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Kuantan hari ini. - POLIS PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis menunggu laporan prestasi guru daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan bagi melengkapkan siasatan berhubung dakwaan serangan seksual terhadap seorang murid lelaki berusia tujuh tahun pada bulan lalu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, susulan penerimaan laporan itu nanti, pihaknya akan merujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya pada minggu hadapan bagi tindakan lanjut.

Katanya, polis sedang menunggu laporan yang dikatakan akan diserah dalam tempoh seminggu berhubung siasatan terhadap guru sekolah rendah berusia 24 tahun itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita menjangkakan ia dapat diserahkan minggu depan. Guru terbabit juga sudah dipindahkan ke PPD sementara menunggu hasil siasatan,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis negeri di sini, hari ini.

Terdahulu, guru lelaki berkenaan dilaporkan ditahan pada 30 Oktober lalu susulan laporan polis dibuat bapa mangsa yang mendakwa anaknya dibawa ke sebuah stor di sekolah sebelum diarahkan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap suspek.

Suspek turut didakwa melakukan serangan seksual terhadap murid berkenaan dalam kejadian tersebut.

Bagaimanapun, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis pada 4 November lalu sementara siasatan diteruskan.

Mengulas lanjut, Azry berkata, polis setakat ini hanya menerima satu laporan berhubung kejadian berkenaan dan tidak menemui sebarang petunjuk yang menunjukkan terdapat mangsa lain.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini