PETALING JAYA: Agrobank dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka usaha memperluas akses kepada pembiayaan pertanian dan peluang pembangunan sosioekonomi, khususnya bagi pesawah serta komuniti asnaf di Kedah.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, Agrobank turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM150,000 bagi pembelian mesin padi, sekali gus menyokong peningkatan kecekapan operasi dan kelangsungan aktiviti pertanian.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, akses kepada pembiayaan perlu disokong dengan usaha meningkatkan keupayaan pesawah untuk mengusahakan kegiatan pertanian secara lebih produktif dan berdaya tahan.
“Kerjasama ini membuka ruang untuk kita menghubungkan keperluan kewangan pesawah dengan peluang pembangunan ekonomi yang lebih luas.
“Tumpuan kami adalah untuk membantu peserta yang layak mengembangkan potensi, menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran serta meneroka penggunaan teknologi yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan.
Kerjasama itu menggabungkan kepakaran Agrobank sebagai institusi kewangan pembangunan dengan jaringan dan program LZNK bagi mengenal pasti peserta yang berpotensi menerima sokongan kewangan serta pembangunan kapasiti yang bersesuaian.
Antara inisiatif yang akan diteroka termasuk Agro Padi-/ Salam, iaitu produk pembiayaan patuh Syariah yang pertama seumpamanya di pasaran Malaysia, di samping inisiatif pemerkasaan asnaf serta penyediaan kemudahan deposit dan pembiayaan lain berdasarkan keperluan peserta.
Beliau berkata, pendekatan tersebut berpotensi meningkatkan keupayaan komuniti pertanian untuk menjana pendapatan, di samping memperkukuh daya tahan sektor pertanian dan menyokong agenda keterjaminan makanan negara selaras dengan mandat Agrobank.
“Kerjasama antara Agrobank dan LZNK ini dijangka membuka peluang kepada pesawah dan komuniti asnaf di Kedah untuk meningkatkan keupayaan ekonomi serta membina sumber pendapatan yang lebih mampan.
“Agrobank akan terus memperkukuh kerjasama strategik bagi memperluas keterangkuman kewangan dan menyokong pembangunan sektor pertanian negara,” ujarnya. – UTUSAN











