KUALA LUMPUR : Selebriti dan pengacara, Nadia Annuar meluahkan kebimbangan terhadap sikap masyarakat hari ini yang semakin mudah menghukum dan menjatuhkan penilaian terhadap seseorang hanya berdasarkan perkara yang tular di media sosial tanpa mengetahui cerita sebenar.
Menurut Nadia, masyarakat kini terlalu pantas membuat kesimpulan, mengecam dan menghukum individu berdasarkan rakaman video pendek, hantaran atau cerita yang disampaikan pihak lain, sedangkan kesahihan serta keseluruhan kejadian belum tentu diketahui.
“Perasaan saya, kita perlahan-lahan sedang menjadi sebuah masyarakat yang semakin kurang sifat kemanusiaannya terhadap satu sama lain.
“Kita terlalu cepat membuat penilaian, mengecam dan menghukum seseorang berdasarkan apa yang kita lihat di media sosial, tanpa mengetahui keseluruhan cerita sebenar. Kita sudah terlalu selesa membentuk persepsi mengenai kehidupan orang lain hanya berdasarkan rakaman beberapa saat, satu hantaran atau versi cerita daripada orang lain,” luahnya di Threads.
Lebih membimbangkan, Nadia berpendapat media sosial kini semakin dijadikan medan untuk meraih perhatian, mencetuskan kemarahan dan mendapatkan pengiktirafan orang ramai, berbanding menjadi platform untuk menyampaikan kebenaran.
“Lebih menyedihkan, media sosial kini semakin menjadi alat untuk meraih perhatian, mencetuskan kemarahan dan mendapatkan pengesahan daripada masyarakat, bukannya sebuah platform untuk mencari dan menyampaikan kebenaran,” katanya.
Dalam masa sama, Nadia turut membangkitkan persoalan mengenai kesukaran masyarakat untuk menentukan kesahihan sesuatu perkara yang tersebar, apatah lagi apabila sesuatu kandungan mungkin dipetik di luar konteks atau sengaja dipersembahkan dengan cara tertentu bagi mempengaruhi pandangan umum.
“Perkara yang paling menakutkan ialah bagaimana kita mahu tahu apa yang patut dipercayai sekarang? Bagaimana kita mahu membezakan sesuatu yang benar-benar tulen, perkara yang sudah dikeluarkan daripada konteks asal atau sesuatu yang sengaja dipersembahkan dengan cara tertentu untuk membuatkan kita berasa sedemikian?
“Kita sudah sampai ke satu tahap apabila perkara yang dilihat dengan mata sendiri pun perlu difikirkan dan dinilai semula,” ujarnya.
Sehubungan itu, Nadia berpandangan perkara yang lebih diperlukan masyarakat ketika ini bukanlah pertambahan pandangan, tuduhan atau kandungan tular, sebaliknya kesediaan untuk mengamalkan empati, bersabar dan berfikir secara kritis sebelum membuat sebarang penghakiman.
“Barangkali perkara yang lebih diperlukan oleh kita hari ini bukanlah satu lagi pandangan, satu lagi tuduhan atau satu lagi hantaran yang tular.
“Sebaliknya, kita memerlukan empati, kesabaran, pemikiran kritis serta kesediaan untuk memahami sesuatu keadaan sebelum membuat sebarang penghakiman.
“Ini kerana di sebalik setiap cerita, ada seorang manusia. Namun, nampaknya kita semakin melupakan hakikat itu,” katanya.











