LONDON: Sebuah restoran di Kent, England, mencuri perhatian menerusi cabaran makan hidangan gergasi dikenali sebagai ‘Codzilla’ yang menampilkan filet ikan kod sepanjang 91 sentimeter.
Menurut saluran berita The Sun UK,
pemilik Marino Fish Bar di Sittingbourne, Andreas Matheou menetapkan tempoh 30 minit kepada peserta untuk menghabiskan hidangan seberat 2.27 kilogram (kg) itu yang turut disajikan bersama kentang goreng, telur jeruk, bawang jeruk, timun jeruk, selain sos kari dan kacang pis lecek.
Hidangan berhargai 60 pound (RM320) itu boleh dinikmati secara percuma oleh peserta yang berjaya menghabiskannya dalam tempoh ditetapkan, selain membawa pulang hadiah wang tunai £100 (RM540).
Bagaimanapun, setakat ini hanya dua daripada 23 peserta berjaya menamatkan cabaran tersebut, dan kedua-dua mereka merupakan peserta makan kompetitif.
Matheou, 40, menerusi laman Facebook kedainya menyifatkan Marino Fish Bar sebagai ‘rumah kepada Codzilla iaitu ikan kod bersalut tepung terbesar di dunia’.
Menurutnya, hidangan itu pada asalnya diperkenalkan sebagai sajian untuk enam orang sebelum seorang pelanggan mencadangkan supaya ia dijadikan cabaran makan bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Sambutan terhadap cabaran itu amat menggalakkan apabila pelanggan dari seluruh Britain sanggup datang untuk mencuba nasib menghabiskan hidangan gergasi tersebut. – AGENSI











