113 inisiatif Manifesto jadi taruhan 100 hari pentadbiran Ab. Rauf - Utusan Malaysia

113 inisiatif Manifesto jadi taruhan 100 hari pentadbiran Ab. Rauf

AB. Rauf Yusoh menunjukkan Manifesto BN dan PN yang mengandungi 113 inisiatif dalam sidang media selepas memasuki pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri menyasarkan pelaksanaan keseluruhan 113 inisiatif dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara berperingkat-peringkat menjadi keutamaan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, garis panduan pelaksanaan manifesto berkenaan sudah disediakan dan setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bakal dilantik nanti.

Menurutnya, kesemua Exco akan diberikan tanggungjawab serta petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan semua inisiatif tersebut dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap perkara yang dijanjikan kepada rakyat bukan sekadar menjadi manifesto pilihan raya, sebaliknya diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

“Insya-Allah, kita akan cuba laksanakan manifesto kita untuk 100 hari pertama. Kita sudah pun membuat garis panduan dan saya yakin selepas ini semua Exco yang dilantik akan menggunakan manifesto ini untuk pelaksanaan.

“Kita mahu memastikan setiap janji kepada rakyat dapat disempurnakan mengikut apa yang telah kita janjikan dalam manifesto,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memasuki pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri di sini hari ini, selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13, Ahad lalu.

Manifesto bersama BN-PN itu mengandungi 113 inisiatif yang disusun menerusi enam teras utama, iaitu Memperkasa Kebajikan Rakyat; Kecekapan Tadbir Urus; Pelaburan dan Ekonomi Baharu; Infrastruktur dan Kelestarian Alam; Pembangunan Modal Insan serta Anak Muda Melaka.

Antara keutamaan dalam tempoh 100 hari ialah meneruskan bantuan kebajikan MeSRA termasuk penyediaan lampin pakai buang kepada warga emas dan susu untuk pesakit terlantar, perkhidmatan ambulans percuma serta van jenazah percuma di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kerajaan negeri turut menawarkan bekalan air percuma kepada pengguna domestik dengan penggunaan di bawah 20 meter padu sebulan, selain mengekalkan kadar cukai tanah tanpa kenaikan selama lima tahun dan potongan harga 30 peratus bagi pembelian ayam serta daging menerusi Program Jualan MeSRA.

Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, penjawat awam pula merupakan instrumen penting dalam memastikan segala dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan dan disampaikan kepada kumpulan sasar.

Katanya, kerjasama erat antara barisan Exco, pegawai kerajaan dan agensi berkaitan amat diperlukan bagi memastikan setiap perancangan dapat direalisasikan tanpa berlaku kelewatan.

“Kita tidak mahu apabila tiba hujung tahun nanti, kita gagal mencapai apa yang sudah dirancang.

“Jadi, penjawat awam merupakan instrumen paling penting untuk melaksanakan apa yang telah digariskan, selain memastikan dasar kerajaan sampai kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini