KUALA LUMPUR: Sebanyak 8,180 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara bersedia diaktifkan bagi menampung sehingga 1.86 juta mangsa banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, PPS berkenaan melibatkan sekolah, dewan, balai raya dan pusat komuniti yang akan dibuka mengikut keperluan semasa bencana.
Katanya, semua PPS itu didaftarkan dalam Sistem InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dilengkapi kod QR bagi memudahkan pendaftaran mangsa serta penyaluran bantuan.
“Setiap PPS telah dijana kod QR bagi melancarkan dan memudahkan pendaftaran serta penyaluran bantuan pemulihan kepada mangsa yang berdaftar,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai persiapan kerajaan menghadapi MTL, termasuk kekurangan makanan, kualiti bantuan dan keletihan petugas PPS.
Nancy berkata, sebanyak RM77.8 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi pengurusan bencana tahun ini, termasuk pembelian barangan keperluan mangsa dan naik taraf kemudahan penyimpanan bantuan.
Menurutnya, JKM turut mengenal pasti 835 pembekal terdiri daripada 208 pembekal kecil dan 627 pembekal besar bagi memastikan bekalan bantuan mencukupi ketika bencana.
“Kita juga turut menyediakan sebanyak 824 kemudahan penyimpanan barangan disediakan di seluruh negara, termasuk depoh simpanan, stor negeri dan daerah serta pangkalan hadapan,” jelasnya.
Katanya, lebih 4,800 pegawai dan kakitangan JKM bersedia digerakkan dengan sokongan lebih 2,200 sukarelawan bencana bagi membantu pengurusan PPS.
Dalam pada itu, beliau berkata, petugas dari daerah berdekatan akan digerakkan dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas bencana bagi membantu petugas awal dan mengelakkan keletihan melampau. – UTUSAN











