RM22.3 juta tingkat kemudahan kecemasan STOLport - Utusan Malaysia

RM22.3 juta tingkat kemudahan kecemasan STOLport

HASBI HABIBOLLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM22.3 juta diperlukan bagi pembinaan stesen bomba mini dan penyediaan tangki air di Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, proses perolehan bagi kemudahan berkenaan sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2027.

Katanya, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) turut menyediakan kenderaan pemadam kebakaran khas jenis Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang direka untuk operasi di STOLport, dengan penghantaran pertama dijadual pada Mei tahun depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“MAHB sentiasa komited dan memandang serius dalam mengambil langkah penambahbaikan bagi memperkukuh kesiapsiagaan pengurusan keselamatan dan tindak balas kecemasan di semua STOLport,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) berhubung langkah kementerian meningkatkan pengurusan keselamatan dan tindak balas kecemasan di STOLport yang beroperasi di Sarawak susulan nahas helikopter di Long Lellang baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata, MAHB turut merancang pengambilan kakitangan tambahan dalam bidang operasi, kejuruteraan, keselamatan, pematuhan serta perkhidmatan bomba dan penyelamat.

Katanya, pengambilan tenaga kerja itu akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember 2028 bagi memperkukuh keupayaan pengurusan keselamatan di lapangan terbang berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, penggunaan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penglibatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang diselaraskan sebagai langkah sementara bagi menyokong keperluan operasi.

“Perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan penglibatan APM disasarkan untuk dimuktamadkan menjelang suku kedua 2027,” katanya.

Dalam pada itu, MAHB turut menyemak dan menambah baik dokumen keselamatan serta prosedur operasi standard (SOP) di semua STOLport yang dijangka diselesaikan sepenuhnya menjelang 30 November ini.

Hasbi berkata, bengkel penyediaan Pelan Kecemasan STOLport turut dilaksanakan di Miri dari 28 September hingga 2 Oktober lalu bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini