LUMUT: Kapal tangki MT MIDAS yang merempuh tebing darat berhampiran Taman Rekreasi Madani Esplanade Wing di sini semalam, berjaya ditarik keluar dari lokasi kejadian dalam operasi bermula pukul 10 malam.
Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam kenyataannya berkata, kapal berkenaan kini berlabuh di perairan berhadapan Tanjung Batu Agas, Lumut selepas operasi menariknya keluar dari kawasan kejadian selesai dijalankan
Katanya, sebuah bot tunda turut ditempatkan dalam keadaan siap siaga di lokasi kapal berlabuh sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya memerlukan bantuan kecemasan.
“Pemeriksaan awal yang dilaksanakan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mendapati tiada sebarang tumpahan minyak atau pencemaran marin dikesan di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, JLM telah melantik pegawai penyiasat kemalangan kapal bagi menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.
Katanya, siasatan akan meneliti faktor yang menyumbang kepada kejadian termasuk aspek keselamatan dan pematuhan terhadap peraturan pelayaran yang berkuat kuasa.
“Pelantikan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab JLM bagi memastikan setiap insiden kemalangan perkapalan disiasat secara teratur dan menyeluruh selain mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan keselamatan yang bersesuaian,” katanya.
Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, JLM memandang serius sebarang pengoperasian atau pergerakan kapal tanpa kebenaran yang sewajarnya khususnya apabila melibatkan risiko terhadap keselamatan pelayaran, kemudahan awam dan persekitaran marin
“JLM akan meneruskan siasatan bagi memastikan perkara berkaitan kemalangan tersebut diteliti sewajarnya.
“Sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN











