KUALA LUMPUR: Sebuah syarikay, Bitdeer Technologies Group (Bitdeer) menyatakan hasrat untuk terus melabur di Malaysia kerana yakin dengan hala tuju dan dasar kerajaan dalam melaksanakan transformasi digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, perkara itu disampaikan oleh Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Bitdeer, Jihan Wu semasa kunjungan hormatnya bersama delegasi hari ini.
Anwar berkata, syarikat itu sedang memperhalusi cadangan pelaburan jangka panjang bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) bertaraf dunia di Malaysia.
“Saya tekankan bahawa pelaburan seperti ini perlu membuka peluang pekerjaan dan menyediakan latihan untuk membina kepakaran rakyat Malaysia, khususnya dalam bidang AI, kejuruteraan dan pengkomputeran termaju.
“Kerajaan akan terus memudah cara pelaburan strategik seperti ini agar pertumbuhan ekonomi digital turut memperkukuh industri tempatan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di laman X, hari ini.
Bitdeer merupakan syarikat teknologi yang menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awan untuk AI dan infrastruktur perlombongan Bitcoin.
Syarikat yang beribu pejabat di Singapura dan tersenarai di Nasdaq itu turut menerima status Malaysia Digital.-BERNAMA











