Houthi nafi tuntut pampasan RM207 bilion dari Arab Saudi - Utusan Malaysia

Houthi nafi tuntut pampasan RM207 bilion dari Arab Saudi

PERTEMPURAN antara pejuang disokong Arab Saudi dengan anggota Houthi semakin sengit sejak akhir-akhir ini di Yaman. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA: Houthi menuntut pampasan AS$51 bilion (RM207 bilion) daripada Arab Saudi dan pengiktirafan sebagai pihak berkuasa sah Yaman dalam rundingan dengan Riyadh, lapor The Wall Street Journal (WSJ), memetik sumber yang mengetahui rundingan itu.

Akhbar berkenaan melaporkan angka pampasan lain turut dibincangkan kemudian tetapi sebarang penyelesaian dijangka melibatkan pembayaran berpuluh-puluh bilion dolar.

Ia sekali gus menggambarkan halangan kewangan dan politik yang dihadapi dalam rundingan antara Arab Saudi dengan Houthi yang menguasai ibu negara Yemen, Sanaa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, seorang war­tawan yang berpihak kepada Houthi mempertikaikan dakwaan itu ketika mengulas kepada The New Arab, dengan menolak angka AS$51 bilion yang dilaporkan dan dakwaan bahawa gerakan itu menuntut pengiktirafan Arab Saudi.

Hussain Albukhaiti, wartawan berpangkalan di Sanaa yang rapat dengan gerakan itu berkata, laporan berkenaan tidak menggambarkan dengan tepat jumlah dan tujuan pampasan yang dituntut.

“Laporan ini tidak benar,” katanya kepada The New Arab, sambil mendakwa Arab Saudi membocorkan maklumat itu bagi menggambarkan Houthi sebagai mengejar wang dan menimbulkan tanggapan bahawa pampasan berkenaan bertujuan untuk gerakan itu, bukannya bagi rakyat Yaman.

Albukhaiti berkata, pihak berkuasa di Sanaa sebaliknya menuntut pampasan daripada pakatan diketuai Arab Saudi, sama ada secara langsung atau menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pengantara lain, dengan menganggarkan kerugian ekonomi Yaman akibat perang berjumlah AS$1.13 trilion (RM4.58 trilion).

Beliau berkata, angka itu merangkumi kehilangan hasil ekonomi dan kerosakan terhadap infrastruktur, industri, sektor kesihatan dan sektor lain, tetapi tidak termasuk pampasan bagi kematian, kecederaan serta kerosakan rumah persendirian.

Menurut Albukhaiti, pampasan bagi kerugian ekonomi secara keseluruhan dan bayaran kepada individu akan diuruskan secara berasingan, dengan setiap satunya tertakluk kepada syarat berlainan.

“Mungkin terdapat kelonggaran dari segi kaedah pembayaran, seperti bayaran tahunan atau secara ansuran dalam tempoh beberapa tahun, tetapi bukan untuk jangka masa yang terlalu panjang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pampasan bagi kematian, kecederaan dan kerosakan harta benda persendirian tidak boleh dirunding, sambil berhujah bahawa keluarga mangsa tidak sepatutnya menunggu bertahun-tahun untuk menerima bayaran.

Beliau menambah, tuntutan bagi rumah yang rosak perlu disertakan dokumen rasmi bagi mengesahkan nilai hartanah sebelum diproses menerusi program pembinaan semula susulan perjanjian dengan Arab Saudi.

Pada Julai, gencatan senjata rapuh yang dimeterai pada 2022 runtuh selepas Houthi membenarkan sebuah pesawat Iran mendarat di ibu negara Yaman, Sanaa, sekali gus mencabar kawalan Arab Saudi terhadap ruang udara negara itu dan mencetuskan beberapa siri serangan.

Houthi kemudian mengisytiharkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi dan mula menyerang kapal, wilayah serta kemudahan minyak negara itu, sebelum menawan seluruh kawasan pantai Laut Merah Yaman dalam kempen serangan pantas.

Sebagai tindak balas, Houthi turut melaporkan serangan udara Arab Saudi yang kerap berlaku.

Yaman terus bergolak akibat perang sejak 2014 apabila Houthi menawan ibu negara, sebelum pakatan diketuai Arab Saudi campur tangan dalam konflik itu setahun kemudian bagi menyokong kerajaan negara tersebut.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini