KUALA LUMPUR: Industri makanan dan minuman (F&B) negara yang merekodkan nilai jualan RM83 bilion perlu mempergiat penggunaan automasi dan teknologi pintar bagi meningkatkan produktiviti serta menangani cabaran operasi yang semakin meningkat.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Sri Mohd Shahar Abdullah berkata, penerapan kecerdasan buatan (AI), robotik dan sistem automasi mampu membantu pemain industri mengatasi kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos operasi serta memenuhi tuntutan pengguna terhadap kualiti makanan dan perkhidmatan.
“Pengusaha F&B perlu beralih daripada kaedah operasi konvensional kepada penggunaan teknologi yang lebih cekap bagi memastikan perniagaan terus berdaya saing.
“Teknologi robotik dalam penyediaan makanan membolehkan kawalan suhu, tempoh memasak dan tahap api dilakukan secara konsisten, sekali gus mengurangkan kesilapan manusia serta memastikan kualiti hidangan lebih seragam,” katanya pada majlis pelancaran pertandingan robot memasak pintar Malaysia Halal Series 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.
Menurut Shahar, penggunaan sistem pintar dalam pengurusan bahan mentah juga dapat mengoptimumkan penggunaan sumber, mengurangkan pembaziran makanan dan meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.
Katanya, automasi membolehkan pekerja mengalihkan tumpuan kepada tugas yang memerlukan kemahiran lebih tinggi, termasuk penyediaan menu, perkhidmatan pelanggan dan pengukuhan jenama.
“Penggunaan AI turut berpotensi meningkatkan keselamatan makanan menerusi pemeriksaan secara masa nyata bagi mengesan pencemaran fizikal, selain memastikan kualiti produk dan ketepatan proses pengeluaran.
“Teknologi dalam sektor pertanian juga boleh menghubungkan pengeluaran bahan mentah dengan operasi restoran menerusi perancangan bekalan serta ramalan permintaan berdasarkan trend pasaran,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperluas penggunaan automasi dalam industri F&B selari dengan hala tuju kerajaan yang meletakkan AI, automasi dan pendigitalan sebagai antara pemacu produktiviti serta inovasi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Katanya, kerjasama antara pemain industri, universiti, institusi penyelidikan dan penyedia teknologi perlu diperkukuh bagi mempercepat pembangunan penyelesaian yang dapat memenuhi keperluan sebenar sektor berkenaan.
“Penggunaan teknologi perlu dilaksanakan secara berperingkat mengikut skala operasi, model perniagaan dan kemampuan setiap pengusaha, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Pembangunan kemahiran tenaga kerja juga perlu menjadi sebahagian daripada proses peralihan teknologi bagi membolehkan pekerja mengendalikan sistem automasi serta memikul tanggungjawab yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Shahar berkata, sektor makanan dan minuman turut memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pekerjaan apabila jumlah pekerjaan dalam industri berkenaan melebihi 888,000 pada akhir 2025, meningkat 2.5 peratus berbanding hampir 837,000 pada akhir 2024.
Katanya, penerapan teknologi pintar perlu diseimbangkan dengan pembangunan kemahiran pekerja serta pematuhan aspek keselamatan makanan, kebersihan dan integriti halal.
“Melalui penggunaan automasi, pengukuhan rantaian nilai industri dan pengekalan kepimpinan global dalam ekonomi halal, kita dapat meningkatkan daya saing sektor F&B Malaysia serta membuka peluang pertumbuhan yang lebih luas,” katanya.











