MARAN: Keunikan Chalet Toh Puan yang mampu bertukar menjadi rumah rakit apabila banjir selain Rumah Rakit Inderapura menjadi antara persediaan pengurusan Rumah Warisan Chenor, di sini menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Persediaan itu bagi memastikan operasi penginapan dan pelancongan terus terpelihara di samping langkah melindungi khazanah sejarah Pahang berusia lebih 120 tahun yang tersimpan di Rumah Warisan Chenor.
Pewaris Rumah Warisan Chenor, Che Wan Ahmad Nizam Wan Ahmad Tajuddin berkata, kedudukan Rumah Warisan Chenor di tepi Sungai Pahang menyebabkan kawasan berkenaan sering berdepan ancaman banjir besar setiap kali musim tengkujuh.
Katanya, langkah berjaga-jaga perlu dilakukan lebih awal bagi mengelak koleksi artifak dan peninggalan keturunan yang mempunyai nilai sejarah tinggi musnah atau dihanyutkan arus banjir.
“Kita tidak mahu kehilangan khazanah dan artifak peninggalan keturunan yang tiada ganti sekiranya musnah atau dihanyutkan banjir,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Che Wan Ahmad Nizam berkata, pengurusan sentiasa memantau paras air sungai dan perkembangan cuaca sebelum menggerakkan operasi memindahkan barangan berharga ke dua lokasi lebih selamat iaitu Kampung Tanjung Memalau dan Kampung Baru Chenor.
Katanya, persediaan pemindahan lazimnya dimulakan berdasarkan petunjuk awal kira-kira tiga hari sebelum banjir dijangka berlaku membabitkan koleksi keris, senjata lama, gambar, dokumen bersejarah serta perabot antik Raja Bendahara Pahang.
Beliau berkata, banjir besar terakhir yang menjejaskan kawasan berkenaan berlaku pada 2021 manakala risiko banjir pada musim ini bergantung kepada paras air sungai dan perubahan cuaca sepanjang MTL.
Dalam perkembangan berkaitan, Rumah Warisan Chenor turut mempunyai kemudahan penginapan unik menerusi Chalet Toh Puan yang direka dengan sistem pelampung menggunakan tong dram bagi membolehkannya terapung apabila berlaku banjir.
Chalet yang mempunyai dua bilik itu ditawarkan pada kadar RM150 semalam dan boleh berfungsi sebagai rumah rakit secara automatik apabila paras air meningkat.
Selain itu, Rumah Rakit Inderapura turut beroperasi sepanjang tahun dengan menawarkan pengalaman penginapan berasaskan alam semula jadi, termasuk aktiviti rekreasi dan memancing sambil menyusuri Sungai Pahang.
Rumah Rakit Inderapura menawarkan pakej penginapan biasa pada harga RM250 semalam, manakala pakej memancing dikenakan RM300 semalam. – UTUSAN











