KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi banjir menerusi latihan dalaman dan latihan bersama agensi tindak balas, termasuk membabitkan Pasukan Bomba Sukarela serta Bomba Komuniti.
Pengarahnya, Farhan Sufyan Borhan berkata, penglibatan pasukan berkenaan penting bagi memperkukuh kerjasama serta meningkatkan keupayaan tindak balas di peringkat komuniti ketika menghadapi bencana.
Katanya, latihan itu memberi penekanan kepada pengoperasian menyelamat di kawasan banjir, pengendalian bot, keselamatan anggota, penyelarasan komunikasi, pengurusan sumber dan tindakan bersepadu ketika menghadapi kecemasan berskala besar.
“Pengurusan bencana banjir memerlukan kerjasama erat pelbagai agensi bagi memastikan operasi menyelamat, pemindahan mangsa dan penyampaian bantuan dapat dilaksanakan secara tersusun serta berkesan.
“JBPM Kelantan juga akan terus memperkukuh penyelarasan bersama agensi pengurusan bencana dan agensi tindak balas lain bagi memastikan setiap tindakan selaras dengan keperluan serta mekanisme pengurusan bencana yang ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, sebanyak 45 bot penyelamat, 30 kenderaan pacuan empat roda dan lapan lori pengangkut disediakan bagi memastikan kelancaran pergerakan anggota, penghantaran peralatan, operasi mencari dan menyelamat serta pemindahan mangsa.
Katanya, penempatan dan pengagihan aset akan dilaksanakan secara strategik berdasarkan tahap risiko, keperluan operasi dan perkembangan situasi banjir di setiap daerah.
“Keutamaan diberikan kepada kawasan yang mempunyai sejarah kejadian banjir berulang serta lokasi yang dikenal pasti berpotensi mengalami gangguan perhubungan jalan darat.
“Pemeriksaan kesiapsiagaan dan kebolehoperasian aset turut diberikan perhatian bagi memastikan semua peralatan dapat digunakan dengan berkesan apabila berlaku kecemasan,” ujarnya. – UTUSAN











