AMPANG: Tindakan UMNO melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi kes SRC International Sdn. Bhd. boleh memberikan mesej salah kepada masyarakat mengenai usaha membanteras rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan UMNO membayar denda RM50 juta bagi membolehkan Najib menghabiskan baki hukuman penjaranya di rumah.
Beliau berkata, walaupun UMNO mempunyai semangat persahabatan dengan bekas Perdana Menteri itu, namun tindakan itu memberikan mesej salah kepada rakyat berkaitan rasuah.
“Tak apalah kalau itu keputusan UMNO (untuk) membayar RM50 juta, padangan peribadi, saya tidak bersetuju sementara kita ada semangat persahabatan dengan Datuk Seri Najib (Razak).
“Tapi, itu tidak harus memberi gambaran kepada rakyat bahawa kegiatan rasuah yang mencecah bilion ringgit boleh dibiarkan begitu sahaja.
“Apa kita hendak didik kepada anak-anak kita? Satu prinsip akhlak yang tegas menolah penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas, di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bahawa UMNO juga menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Asyraf Wajdi berkata, jumlah kutipan dana melalui Tabung Solidariti Najib Razak berjaya mencapai sasaran dan mencukupi bagi membantu bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Bagaimanapun Anwar berkata, keputusan UMNO untuk membantu Najib mengumpul dana sebanyak RM50 juta itu adalah hak parti dan keputusan pengampunan diraja itu adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
“Soal keputusan UMNO itu hak mereka dan proses undang-undang, kita hormat cara prosesnya ataupun dari segi keputusan Yang di-Pertuan Agong, itu kita hormat di sisi Perlembagaan. Pendapat saya, saya sudah zahirkan,” katanya.
Mengulas keputusan kemenangan besar Parti Demokrat dalam pilihan raya separuh penggal AS, Anwar berkata, perkara itu manifestasi rakyat menolak Islamofobia, politik perkauman dan peperangan.
Katanya, perkara itu yang menyebabkan rakyat AS menoktahkan politik bersifat demikian kerana ia tidak matang dan waras.
“Ada orang kata di sini kononnya kemenangan Parti Demokrat gelombang biru, tetapi mesejnya (rakyat) menentang keganasan, kebencian kaum.
“Ini reaksi rakyat yang benci dengan permainan kaum berlebihan, tanam kebencian terhadap golongan minoriti, dengan umat Islam, tanam kebencian terhadap kaum-kaum lain,” katanya.
Anwar berkata, rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya di AS supaya membersihkan negara daripada kerakusan dan rasuah dalam pentadbiran.
“Apa yang kita belajar kemenangan Demokrat)? Ia mengajar supaya jadi manusia baik, bersihkan negara daripada rasuah. Ini asyik bercakap soal bangsa tetapi rasuah?,” katanya-UTUSAN











