Titah Adendum: Najib fail rayuan

Titah Adendum: Najib fail rayuan

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memutuskan bahawa Titah Adendum berhubung tahanan di rumah tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.

Menurut peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, notis rayuan itu telah difailkan pada Rabu lalu (24 Disember 2025).

Pada 22 Disember lalu, Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum yang membenarkan Najib un­tuk menghabiskan baki hukumannya di rumah sebagai tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan kerana Titah tersebut tidak mematuhi prosedur yang diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berhubung kuasa pengampunan.

Pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara asal Najib selama 12 tahun dan denda RM210 juta kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta. Menurut kenyataan tersebut, Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028, sekiranya beliau membayar denda tersebut.

Gagal membayar denda terbabit, Najib hanya akan dibebaskan pada 23 Ogos 2029.

Pada 1 April 2024, Najib memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman, dengan mendakwa wujud perintah tambahan diraja yang membolehkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Pada 9 Julai lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pihaknya tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum tersebut tetapi mempersoalkan perlaksanaannya.

Pada 13 Ogos lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memutuskan bahawa Titah Adendum wujud namun sama ada perintah tambahan itu sah atau benar (valid and true) perlu diputuskan di peringkat Mahkamah Tinggi.

Ketika membaca penghakimannya, Hakim Yee Ching menyatakan, Titah Adendum itu tidak pernah dibincangkan mahupun diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61.

Tambah Hakim Yee Ching, walaupun kuasa pengampunan adalah prerogatif Agong, baginda tidak boleh melakukannya secara sendirian.

“Pelaksanaan kuasa pe­ngam­punan tersebut oleh YDPA bukanlah bersifat mutlak. YDPA sebagai Raja Berperlembagaan (perlu) melaksanakan kuasanya tertakluk kepada Perlembagaan.

“Menurut hakim itu, hanya dengan pematuhan penuh terhadap keperluan Perlembagaan, barulah sesuatu perintah yang dikeluarkan boleh dianggap sah,”katanya ketika membaca penghakiman ringkas beliau. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN