PETALING JAYA: Orang Melayu tidak mampu menjadi Perdana Menteri sekiranya wujud terlalu banyak parti akibat perpecahan sesama mereka.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perpecahan dalam kalangan parti politik khususnya melibatkan orang Melayu dilihat antara faktor utama yang menjejaskan peluang untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) sekali gus membentuk kerajaan.
Menurutnya, tanggapan tersebut tidak semestinya tepat kerana kemenangan dalam PRU adalah penentu utama, bukan semata-mata kedudukan dalam parti.
“Jika berpecah kepada banyak parti, tiada satu pun yang akan menang PRU. Tanpa kemenangan, mustahil seseorang itu boleh menjadi Perdana Menteri walaupun mendapat sokongan dalam parti sendiri.
“Oleh itu, tidak timbul keperluan untuk berebut menjadi ketua parti jika akhirnya tidak membawa kepada kemenangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa peluang untuk membentuk kerajaan hanya boleh dicapai sekiranya wujud kesatuan yang kukuh, khususnya dalam kalangan orang Melayu.
Katanya, terlalu ramai calon yang bertanding hanya akan memecahkan undi dan akhirnya menyebabkan semua calon berdepan kekalahan.
“Yang penting adalah memastikan calon yang dipilih mampu menang, bukan sekadar berlumba menjadi ketua parti atau calon Perdana Menteri,” katanya.
Menurutnya lagi, perpaduan dan strategi yang tersusun lebih penting dalam memastikan kejayaan dalam PRU berbanding persaingan dalaman yang berlebihan. – UTUSAN










