PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru masyarakat dunia agar menghentikan peperangan dan menegaskan rundingan secara aman sebagai kaedah terbaik menyelesaikan konflik.
Dr. Mahathir berkata, beliau tidak pernah menyokong peperangan dan tidak dapat menerima pembunuhan manusia sebagai jalan penyelesaian kepada sebarang masalah.
“Peperangan adalah tentang pembunuhan manusia secara besar-besaran. Bagaimana manusia masih boleh menerima perang sebagai penyelesaian konflik antara negara adalah sesuatu yang sukar difahami.
“Lebih tidak dapat diterima apabila sebenarnya terdapat cara lain untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kaedah alternatif itu bukan sahaja kurang membawa maut dan kemusnahan, malah melibatkan kos yang jauh lebih rendah.
“Apakah cara-cara tersebut? Manusia dikurniakan keupayaan untuk berfikir. Antara jalan yang boleh diambil ialah rundingan, timbang tara atau melalui mahkamah.
“Dengan kemampuan berfikir, manusia boleh menilai baik dan buruk setiap penyelesaian. Jelas bahawa rundingan secara aman adalah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik.
“Hentikan peperangan,” katanya. – UTUSAN









