Malaysia belum pertimbang tindakan undang-undang

Malaysia belum pertimbang tindakan undang-undang

MOHAMAD Hasan menyampaikan sumbangan kepada penerima warga Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau, Negeri Sembilan, semalam. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Malaysia belum bercadang mengambil tindakan undang-undang atau menghantar nota diplomatik kepada Indonesia berhubung isu jerebu rentas sempadan susulan kebakaran hutan di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan melalui perbincangan dan hubungan diplomatik perlu diutamakan bagi menangani isu berkenaan.

Beliau berkata, tindakan undang-undang bukan langkah yang boleh diambil sewenang-wenangnya kerana berpotensi menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cakap senanglah hendak buat tindakan undang-undang. Kalau mahu buat begitu, maknanya kita sudah bersedia untuk memutuskan hubungan.

“Kita belum sampai ke tahap itu dan nota diplomatik pun tidak ada perlunya,” katanya ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada warga emas, bantuan melanjutkan pelajaran dan sumbangan am Parlimen Rembau di Rantau, di sini semalam.

Mohamad berkata, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri turut menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi membincangkan isu berkenaan.

Menurutnya, pengurusan hubungan dua hala memerlukan pertimbangan terhadap pelbagai perkara sensitif sebelum sebarang tindakan diambil.

“Nota diplomatik ini adalah cara terakhir. Jadi, kita belum sampai ke tahap itu. Untuk mengurus hubungan antara dua negara ini, banyak perkara sensitif yang perlu kita ambil kira,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan agar tekanan diplomatik dan kewa­ngan yang lebih tegas dikenakan terhadap syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran hutan di Indonesia.

Beliau berpandangan rayuan berulang kali sahaja masih tidak mencukupi dalam menyelesaikan masalah jerebu rentas sempadan serta menggesa tindakan lebih tegas diambil bagi menangani punca isu berkenaan.

Sementara itu, Mohamad menasihatkan rakyat Malaysia yang merancang menunaikan umrah supaya menangguhkan perjalanan dan berbincang dengan syarikat pengendali pakej masing-masing sebelum membuat keputusan.

Beliau berkata, Kementerian Luar telah mengklasifikasikan perjalanan ke rantau berkenaan sebagai tidak selamat ketika ini.

“Umrah boleh dibuat bila-bila masa. Dalam keadaan semasa ini, kita tidak tahu apa yang boleh berlaku.

“Kita tidak menyangka lapangan terbang Riyadh boleh dibom atau peluru berpandu boleh sampai ke kawasan ber­kenaan. Perkara ini tidak boleh dipandang mudah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini