Pemandu BYD Seal didakwa sebabkan kematian Asiah - Utusan Malaysia

Pemandu BYD Seal didakwa sebabkan kematian Asiah

RAEVEN Goh Wey Haur didakwa atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu kereta elektrik (EV) BYD Seal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak pe­rempuan, Sabtu lalu.

Tertuduh, Raeven Goh Wey Haur, 24, yang bekerja sebagai pegawai bank membuat penga­kuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.

Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai pemandu EV jenis BYD Seal didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun atau maksimum 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu kereta sama secara berbahaya kepada orang awam dengan mengambil kira kesesakan lalu lintas dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu.

Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh dengan kereta sama didakwa telah gagal berhenti selepas terlibat dalam suatu kemalangan dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 52 (1) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan atau denda tidak kurang RM2,000, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Jalan Kuching dari arah pusat bandar menghala ke Jalan Segambut pada pukul 3.44 petang, 10 Oktober 2026.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dengan mengambil kira tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Turut dipohon syarat tambahan agar lesen tertuduh digantung mengikut Seksyen 41 (5) akta sama bermula semalam serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM25,000 bagi pertuduhan pertama, RM15,000 bagi pertuduhan kedua dan RM10,000 untuk pertuduhan ketiga,” katanya yang hadir bersama Mohamad Wafi Hussain.

Bagaimanapun, peguam Kailash Sharma memohon agar anak guamnya dikenakan jaminan rendah atas alasan keluarga tertuduh telah memberikan kerjasama dengan pihak polis sejak hari kejadian.

“Mahkamah ini boleh meneliti garis masa dalam kes ini, yang mana dalam tempoh 24 jam pertama, seawal 8 malam hari kejadian, keluarga tertuduh telah memberi kerjasama penuh de­ngan pihak polis,” katanya.

Pada prosiding itu, peguam Nur ‘Aminahtul Mardiah Md. Nor turut hadir sebagai peguam pemerhati keluarga.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM36,000 secara keseluruhan bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 19 November ini.

Sabtu lalu, tular beberapa rakaman kamera papan pemuka menunjukkan sebuah BYD Seal dari arah kanan melanggar Pe­rodua Bezza sehingga menyebabkan kedua-dua kereta itu hilang kawalan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 petang itu, si mati yang duduk di tempat duduk belakang Perodua Bezza cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kemalangan berlaku ketika ali­ran trafik bergerak perlahan dari arah pusat bandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini