KUALA LUMPUR: Seorang pemandu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak 5 tahun, Sabtu lalu.
Tertuduh, Haur Raeven Gowyha, 24, membuat pengakuan itu selepas kesemua tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai pemandu kereta elektrik jenis BYD Seal didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara 5 hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu memandu kereta sama didakwa secara berbahaya kepada orang awam dengan mengambil kira kesesakan lalu lintas.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 42(1) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu.
Untuk pertuduhan ketiga, dia dengan kereta sama didakwa telah gagal berhenti selepas terlibat dalam suatu kemalangan.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 52(1) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan atau denda tidak kurang RM2,000, jika sabit kesalahan.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuching dari arah pusat bandar menghala ke Jalan Segambut, di sini, pada pukul 3.44 petang, 10 Oktober lalu. – UTUSAN
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL











