JOHOR BAHRU: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan karier politiknya masih belum berakhir sebaliknya masih bergiat aktif sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Bera.
Bagaimanapun katanya, sebarang keputusan berhubung masa depan politiknya akan dibuat apabila tiba masanya kelak.
“Saya masih aktif sebagai Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian. Tetapi saya sedar tidak lagi aktif dalam arus perdana politik mainstream tanah air. Keputusan berkenaan pilihan raya umum (PRU) akan dibuat apabila tiba masanya.
“Buat masa ini saya turut fokus kepada membantu kira-kira 1,000 anak-anak yatim yang kehilangan ketua keluarga disebabkan pandemik Covid-19, itu fokus saya ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan ziarah kasih terhadap salah seorang penerima bantuan bulanan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) di Larkin, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi YKM turut memberitahu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu membelanjakan kira-kira RM5 juta setahun bagi memberi bantuan sumbangan bulanan serta sumbangan secara one-off kepada kira-kira 1,000 penerima.
Menurut beliau, inisiatif tersebut telah dilaksanakan sejak 2022 khususnya selepas ketika fasa pasca pandemik Covid-19 bermula.
“Setahu saya, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menyediakan bantuan dan sumbangan kewangan kepada waris yang kehilangan ketua keluarga ketika Covid-19 sehingga pasca pandemik.
“Selain bantuan bulanan sebanyak RM200 kepada anak-anak yatim bawah 15 tahun serta RM25 kepada yang berusia atas 15 tahun, bantuan diberi sehingga mereka berusia 18 tahun atau sehingga tamat ijazah sarjana pertama mereka,” ujarnya.
Tambah Ismail Sabri lagi, pihaknya masih membuka permohonan kepada mana-mana pihak yang layak kerana masih ramai dalam kalangan waris yang kehilangan ketua keluarga akibat Covid-19 belum berdaftar dengan pihaknya. – UTUSAN










