SEREMBAN: Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) mendesak persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang ditangguhkan daripada jadual asal hari ini supaya diadakan segera bagi membolehkan isu rakyat dibangkitkan.
ADUN Nilai, J. Arul Kumar berkata, pihaknya tidak menerima sebarang pemakluman rasmi berhubung penangguhan berkenaan kerana tarikh persidangan pada 16 hingga 22 Oktober masih tertera dalam portal rasmi e-Dewan pagi tadi.
Katanya, penangguhan persidangan itu sekali gus menafikan peluang wakil rakyat untuk mendapatkan penjelasan kerajaan negeri berhubung pelbagai isu.
“Kami berharap persidangan DUN ini dipanggil segera. Tidak perlu tunggu sehingga persidangan belanjawan kerana persidangan hari ini adalah persidangan biasa yang perlu diadakan,” katanya ketika ditemui di Wisma Negeri di sini hari ini.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu berkata, kesemua ADUN sebelum ini telah diminta mengemukakan soalan lisan dan bertulis bagi persidangan berkenaan selain membuat persiapan untuk membahaskan pelbagai isu rakyat.
Katanya, persidangan DUN merupakan platform penting bagi wakil rakyat mendapatkan maklumat dan penjelasan secara rasmi daripada kerajaan negeri.
“Kami sebagai wakil rakyat dipilih untuk menjadi suara kepada rakyat dan membawa isu mereka. Apabila persidangan tidak diadakan bagaimana kami hendak membawa isu rakyat dan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri?” katanya.
Arul menambah, persidangan biasa yang dijadualkan pada bulan Oktober itu tidak seharusnya digantikan dengan persidangan belanjawan yang dijangka berlangsung pada 26 November ini.
“Kita kehilangan satu persidangan DUN. Kalau dapat dua persidangan, itu lebih baik daripada satu kerana perbahasan belanjawan juga mempunyai had masa,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut berharap isu pentadbiran negeri diselesaikan segera bagi memastikan urusan kerajaan berjalan lancar agar kepentingan rakyat tidak terjejas.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, persidangan DUN yang sebelum ini dijadualkan hari ini ditangguhkan ke penghujung bulan hadapan bagi membolehkan urusan perasmian dan pembentangan belanjawan dilaksanakan.-UTUSAN.











