SEREMBAN: Kemelut kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan berakhir apabila Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dijadual berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, esok.
Perkara itu disahkan menerusi jemputan rasmi pihak istana kepada pengamal media bagi membuat liputan istiadat berkenaan yang dijadual berlangsung bermula pada pukul 9 pagi.
Istiadat itu dijangka menyaksikan pelantikan beberapa Exco baharu dalam pentadbiran kerajaan negeri, sekali gus memberi petunjuk kepada perkembangan terbaharu kemelut politik yang melanda negeri ini.
Sementara itu, sumber memaklumkan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim akan kekal menyandang jawatan berkenaan manakala seramai enam Exco bakal mengangkat sumpah esok.
“Rasanya seperti yang disebut-sebut hari itu. Iaitu ADUN Repah, Jeram Padang, Kota, Senaling, Bagan Pinang dan Gemas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa parti itu menyerahkan keputusan berhubung kedudukan Menteri Besar dan barisan EXCO Negeri Sembilan kepada pihak istana.
Kenyataan itu dibuat selepas beliau bersama beberapa pemimpin tertinggi BN menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, di sini, petang tadi. – UTUSAN











