KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disenaraikan dalam kalangan 10 pemimpin teratas dunia dari segi keberkesanan kepimpinan politik dalam Indeks Kuasa Asia 2026 oleh Institut Lowy.
Laporan terbaharu yang menilai keberkesanan pemimpin politik dalam memajukan kepentingan diplomatik negara masing-masing di peringkat antarabangsa itu meletakkan Anwar di kedudukan ke-10 dunia dengan skor 46 mata, menurut hantaran di laman Facebook ABC Asia Australia.
Di peringkat serantau, beliau merupakan antara tiga pemimpin ASEAN yang berjaya menembusi kelompok 10 teratas dunia, bersama-sama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong yang menduduki tempat ketiga dengan 74 mata, serta Presiden Vietnam, To Lam di tempat kelapan dengan 50 mata.
Presiden China Xi Jinping mendahului kedudukan kepimpinan politik dalam Indeks Kuasa Asia 2026 dengan mencatatkan skor 100 daripada 100 bagi keberkesanan diplomatik di peringkat global.
Perdana Menteri India, Narendra Modi menduduki tempat kedua, manakala Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese masing-masing di tempat keempat dan kelima.
Kedudukan yang disusun oleh badan pemikir Australia, Institut Lowy itu berdasarkan tinjauan dalam kalangan pakar yang menilai keberkesanan pemimpin politik dalam memajukan kepentingan diplomatik negara masing-masing di persada dunia.
Penarafan kepimpinan politik itu merupakan sebahagian daripada Indeks Kuasa Asia yang lebih menyeluruh, yang mengukur kuasa dan pengaruh 27 negara dan wilayah di rantau berkenaan.-BERNAMA











