KUALA LUMPUR: Silk Road Market, pasar terbuka mesra Muslim baharu yang bakal dibangunkan di King’s Park, Genting Permai, Genting Highlands, menyasarkan kehadiran antara enam hingga lapan juta pengunjung setahun apabila beroperasi kelak.
Unjuran bagi pasar yang dijadualkan dibuka pada September 2027 itu dibuat berdasarkan angka kunjungan pelancong ke Genting Highlands yang dijangka menghampiri 40 juta orang setahun, dipacu kedudukan strategiknya di laluan utama ke pusat peranginan tanah tinggi berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Silk Road Market, Datin Rita Sosilawati berkata, idea pembangunan pasar seluas kira-kira 100,000 kaki persegi itu tercetus daripada kenangan rakyat Malaysia menyusuri pasar malam dan bazar Ramadan bersama keluarga selain bercuti di Genting Highlands.
“Setiap rakyat Malaysia ada kenangan berjalan di pasar malam atau bazar Ramadan bersama keluarga, terhidu bau makanan sebelum nampak gerainya dan pulang membawa lebih daripada yang dirancang.
“Suasana itu mencerminkan peranan Laluan Sutera sejak lebih 2,000 tahun lalu apabila pedagang bertemu untuk berniaga makanan serta hasil kraf, di samping memberi peluang kepada keluarga menikmati udara sejuk tanah tinggi secara terbuka,” katanya semasa sesi taklimat penyewa dan pengenalan Silk Road Market di Kuala Lumpur, hari ini.
Setakat November 2026, kemajuan pembinaan di tapak pembangunan yang terletak kurang 40 minit perjalanan dari Kuala Lumpur itu dilaporkan telah mencapai tahap 90 peratus.
Pasar tersebut bakal menempatkan lebih 100 kiosk merentasi empat zon iaitu Silk Road Arabic Market, Silk Road Oriental Market, Souq Souk serta Seni Sana (King’s Park Arts & Craft Market) dengan 80 peratus daripadanya menawarkan makanan dan minuman, manakala baki 20 peratus menjual produk budaya serta cenderamata.
Menurut Rita, ruang dalaman Souq Souk dikhaskan untuk jenama halal serta produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang boleh memulakan perniagaan dengan menyewa satu rak, berkongsi kiosk atau menerusi gerai sementara.
“Pilihan ruang niaga merangkumi kiosk berkeluasan bermula 40 kaki persegi hingga unit kedai sekitar 2,900 kaki persegi.
“Saya mahu ia menjadi pentas bagi perniagaan Malaysia, khususnya pengusaha kecil untuk dikenali pengunjung dari seluruh dunia,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Tourism Pahang bagi mengetengahkan makanan dan hasil kraf negeri itu melalui penganjuran minggu warisan dan minggu makanan negeri, selain mendapat sokongan Islamic Tourism Centre (ITC) serta Halal Development Corporation (HDC).
Sementara itu, Pengarah Kerjasama Strategik dan Pelaburan King’s Park Development, Alice Yong berkata, demonstrasi masakan secara langsung dan bengkel kraf yang disediakan mampu memberi pengalaman autentik kepada keluarga serta kanak-kanak berbanding interaksi dalam talian.
“Dalam usaha menarik pengunjung, pihak pengurusan turut menyasarkan kira-kira 100 bas persiaran sehari singgah di King’s Park, dengan kerjasama bersama agensi pelancongan dan pengendali bas yang membawa pelancong ke Genting Highlands,” katanya.
Tambahnya, King’s Park turut menyediakan kawasan berbumbung yang boleh menampung bas persiaran termasuk bas dua tingkat, selain merancang perkhidmatan bas ulang-alik (shuttle) bagi membawa pengunjung dari King’s Park ke Genting Premium Outlets (GPO) untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kereta kabel. – UTUSAN











