KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) belum menerima sebarang kertas kerja cadangan berhubung caj kenderaan bagi laluan persendirian yang diuruskan pengendali di Jalan Genting Highlands.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sehingga kini pihak kementerian belum dimaklumkan secara rasmi mengenai sebarang permohonan mengenakan caj tersebut.
“Setakat ini, kementerian tidak menerima apa-apa proposal berkaitan caj kenderaan di laluan berkenaan,” katanya selepas merasmikan sesi dialog awam anjuran Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Alexander bersetuju dengan penjelasan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan bahawa bayaran tersebut bukanlah tol seperti yang disalah tafsir oleh sebahagian pengguna.
Sebaliknya, katanya lagi, ia merupakan caj laluan persendirian yang dikenakan oleh pengendali jalan di kawasan berkenaan dan tidak tertakluk di bawah Akta Jalan-Jalan Persekutuan atau mana-mana peruntukan tol kerajaan.
“Saya boleh bersetuju dengan pandangan beliau, (istilah) tol agak mengelirukan kerana tol biasanya di lebuh raya. Mengapa tidak dikatakan caj masuk, ini adalah cadangan yang agak baik,” katanya.
Semalam, semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, Ahmad Maslan menegaskan penggunaan istilah yang tepat penting bagi mengelakkan kekeliruan.
Ini memandangkan negara ketika ini mempunyai 33 konsesi tol yang beroperasi di lebuh raya sedia ada.
Beliau berkata, caj berkenaan hanya wajar dikenakan kepada pengunjung yang menggunakan laluan itu untuk tujuan rekreasi manakala pekerja serta pemilik tanah dan premis di kawasan tersebut tidak seharusnya dikenakan bayaran.
Jelasnya, kadar caj yang terlalu tinggi juga berisiko menjejaskan jumlah pelancong ke Genting Highlands, sekali gus memberi kesan kepada pengendali. – UTUSAN










