KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi mewujudkan sumber pendapatan baharu dengan membangunkan industri bahan api marin dan menjadikan negara ini hab serantau bagi aktiviti pencampuran, penyimpanan serta pembekalan bahan api kapal.
Pemain industri, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, Malaysia mempunyai beberapa kelebihan untuk membangunkan sektor terbabit susulan saranan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari supaya kerajaan memperluas asas hasil negara dan mengenal pasti industri strategik baharu.
Menurutnya, ia termasuk sumber petroleum, kemudahan penyimpanan, rangkaian pelabuhan dan kedudukan strategik di laluan perdagangan utama yang boleh dimanfaatkan untuk membolehkan syarikat tempatan terlibat dalam aktiviti bernilai tambah, bukan sekadar penyedia logistik.
Jelasnya, antara bidang boleh diteroka ialah penghasilan minyak bahan api sulfur sangat rendah (VLSFO), yang digunakan kapal bagi mematuhi had kandungan sulfur global 0.50% ditetapkan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) sejak Januari 2020.
“VLSFO boleh dihasilkan dengan mencampurkan komponen petroleum yang sesuai sebelum produk itu diuji bagi memastikan ia memenuhi spesifikasi ditetapkan.
“Sebagai contoh, syarikat boleh mendapatkan komponen bahan api yang sesuai daripada kilang penapisan atau pembekal petroleum, mencampurkannya mengikut nisbah terkawal dan menguji produk yang dihasilkan bagi memastikan kandungan sulfur serta spesifikasi bahan api lain memenuhi syarat ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Jeyenderan berkata, model itu juga membolehkan Malaysia menerima pelbagai produk petroleum, mencampurkannya mengikut spesifikasi pembeli dan kemudian menjual produk siap kepada pengendali perkapalan.
“Pendekatan itu boleh memperluas rantaian nilai industri tempatan, sekali gus menjana pendapatan daripada aktiviti perdagangan, penyimpanan, logistik dan pembekalan bahan api kapal,” katanya.
Semalam, Amirudin menggesa kerajaan memperluas asas hasil negara dan mengenal pasti industri strategik baharu yang mampu memberikan pulangan berterusan.
Jeyenderan berkata pembangunan hab bahan api marin juga berpotensi meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan pelabuhan, logistik dan perdagangan petroleum, sekali gus memberi manfaat kepada lebih banyak perniagaan tempatan.
Bagaimanapun, katanya, industri itu memerlukan garis panduan kawal selia dan operasi yang jelas bagi memastikan proses pengendalian, penyimpanan, pemindahan dan pencampuran produk petroleum dilaksanakan dengan selamat dan teratur.
“Operasi sedemikian memerlukan peralatan yang sesuai, ujian kualiti dan dokumentasi bagi memastikan bahan api memenuhi spesifikasi serta selamat digunakan.
“Dokumentasi yang lengkap serta prosedur telus juga penting untuk melindungi hasil kerajaan, memberi kepastian kepada pemain industri dan menarik lebih banyak pelaburan dalam aktiviti bernilai tambah tinggi,” katanya.
Tags: Malaysia, industri maritim, bahan api marin, VLSFO, hasil negara, ekonomi, pelabuhan, perdagangan petroleum.-UTUSAN











