Ancaman siber berkembang, cabaran semakin sukar - PM

Ancaman siber berkembang, cabaran semakin sukar – PM

ANWAR Ibrahim berucap merasmikan Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara 2026-2030 di Hotel Hyatt Regency KL hari ini. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pendekatan keselamatan konvensional apabila ancaman terutama serangan siber kini berkembang melangkaui bentuk peperangan biasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks dan canggih termasuk serangan siber menerusi pengukuhan keupayaan negara di bawah Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030.

Katanya, perubahan landskap keselamatan yang semakin rumit memerlukan kerangka dasar sentiasa dinilai dan disesuaikan mengikut perkembangan semasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dinamika cabaran ini amat sukar dan canggih. Dahulu kita boleh menyediakan kerangka dasar untuk tempoh lima atau 10 tahun. Hari ini, kerangka lima tahun masih wajar dikekalkan, tetapi perlu disemak secara berterusan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030 di sini, semalam.

DKN 2026-2030 menggariskan 10 bidang tumpuan strategik meliputi kedaulatan dan keutuhan wilayah, perpaduan nasional, kestabilan sosiopolitik, tadbir urus berkesan, daya tahan ekonomi, keadilan sosial, pembangunan mampan, keselamatan rakyat, diplomasi keselamatan dan kerjasama serantau serta keselamatan siber dan teknologi.

Dalam pada itu Anwar berkata, pendekatan keselamatan negara kini perlu diperluaskan melangkaui aspek pertahanan konvensional dengan mengambil kira cabaran ekonomi, sosial, alam sekitar, diplomatik dan digital.

Katanya, aspek keselamatan siber, perlindungan infrastruktur kritikal, latihan khusus serta kerjasama lebih erat antara agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan antarabangsa semakin penting dalam melindungi negara.

“Serangan siber berlaku beribu-ribu malah puluhan ribu setiap hari. Sukar untuk saya mendapatkan angka tepat, tetapi seolah-olah kita diserang setiap hari,” jelasnya.

Malah, Anwar menambah, negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) juga tidak terkecuali daripada ancaman berkenaan, sekali gus menunjukkan keperluan Malaysia memperkukuh kesiapsiagaan di luar pendekatan keselamatan konvensional.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu menjangkakan cabaran baharu termasuk keperluan membangunkan keupayaan, infrastruktur dan unit khusus dalam kementerian berkaitan.

“Saya melihat, sebagai contoh, keperluan kementerian berkaitan menubuhkan unit baharu,” ujarnya.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mencadangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan mempertimbangkan penganjuran taklimat khas kepada Ahli Parlimen minggu depan bagi menjelaskan cabaran keselamatan negara serta kepentingan dasar baharu itu.

Katanya, wakil rakyat perlu memahami bahawa keselamatan negara dan usaha mengekalkan keamanan merupakan tanggungjawab bersama yang tidak boleh dipandang ringan.

Dalam pada itu, beliau berkata, agensi pertahanan dan keselamatan negara memerlukan aset serta kelengkapan lebih baik memandangkan sebahagian daripadanya sudah usang atau tidak lagi sesuai digunakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini