KUALA LUMPUR: Kerajaan mengadakan taklimat khas bersama Ahli Parlimen bagi membincangkan Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, taklimat itu akan disampaikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi memberikan pemahaman lebih menyeluruh mengenai dasar berkenaan.
Katanya, isu keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan kelangsungan hidup dan memerlukan komitmen semua pihak.
“Keamanan dan keselamatan negara adalah soal kelangsungan hidup. Perkara ini mesti difahami oleh semua jawatankuasa, agensi penguatkuasa dan seluruh rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran DKN 2026-2030 di sini hari ini.
Dalam pada itu Anwar berkata, rakyat juga perlu menghayati pengorbanan anggota tentera dan polis sepanjang perjuangan menentang ancaman pengganas komunis selama beberapa dekad, selain tanggungjawab mempertahankan sempadan negara.
Katanya, sesebuah negara tidak seharusnya berada dalam keadaan terlalu selesa sehingga menganggap tiada ancaman atau perkara di luar jangkaan boleh berlaku.
“Malang bagi sesebuah negara jika pemimpinnya terlalu selesa dan menganggap tiada perkara di luar jangkaan boleh berlaku.
“Jadi, sementara kita mengharapkan yang terbaik, kita mesti bersedia. Antara persediaan itu ialah Dasar Keselamatan Negara yang perlu dikaji dan difahami semua pihak supaya kita menyedari kepentingannya serta menjadikannya panduan dalam pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata, agensi keselamatan juga perlu menunjukkan teladan dengan melaksanakan tanggungjawab masing-masing berlandaskan integriti bagi memastikan dasar berkenaan mencapai matlamat.
Menurutnya, keyakinan rakyat terhadap agensi keselamatan dan penguat kuasa bergantung kepada keberanian serta integriti mereka dalam melaksanakan tugas.
Katanya, sebarang tindakan yang mencemarkan kepercayaan rakyat terhadap agensi berkenaan boleh membawa kesan negatif kepada keselamatan negara.
DKN 2026-2030 dilancarkan hari ini menggariskan 10 bidang tumpuan strategik yang diterjemahkan menerusi 30 strategi bagi memperkukuh keupayaan Malaysia menangani landskap keselamatan semakin kompleks, termasuk ancaman tradisional dan bukan tradisional.
Sepuluh bidang berkenaan merangkumi kedaulatan dan keutuhan wilayah, perpaduan nasional, kestabilan sosiopolitik, tadbir urus berkesan, daya tahan ekonomi, keadilan sosial, pembangunan mampan, keselamatan awam, diplomasi keselamatan dan kerjasama serantau serta keselamatan siber dan teknologi. – UTUSAN











