DKN 2026-2030 tetapkan 10 tumpuan strategik

DKN 2026-2030 tetapkan 10 tumpuan strategik

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030 menetapkan 10 bidang tumpuan strategik bagi memperkukuh keupayaan Malaysia menangani landskap keselamatan yang semakin kompleks, merangkumi ancaman tradisional dan bukan tradisional.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata, dasar itu akan menjadi rujukan utama dalam menentukan hala tuju serta keutamaan keselamatan negara.

Katanya, DKN menggariskan pendekatan menyeluruh dan bersepadu bagi memastikan kepentingan, kedaulatan serta keselamatan negara terus dilindungi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dasar ini mengambil kira perubahan landskap keselamatan yang merangkumi pelbagai dimensi saling berkaitan termasuk politik, ekonomi, sosial, alam sekitar, ketenteraman awam serta keselamatan siber dan teknologi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran dasar itu hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Raja Nurshirwan, penggubalan DKN mengambil kira perubahan landskap keselamatan semasa dan keperluan memperkukuh konsep keselamatan menyeluruh yang memerlukan penyelarasan serta kerjasama antara kementerian, agensi dan seluruh lapisan masyarakat.

Beliau berkata, dasar baharu itu turut ditambah baik dari segi penyusunan isu dan cabaran serta tumpuan strateginya.

Katanya, berbeza dengan dasar terdahulu yang berasaskan sembilan nilai teras keselamatan negara, DKN 2026-2030 kini berpandukan 10 bidang tumpuan strategik.

“Sebanyak 66 isu, cabaran dan ancaman dalam dasar terdahulu disusun semula kepada 53, iaitu pengurangan 13 perkara bagi memastikan setiap isu, cabaran dan ancaman dapat diteliti dengan lebih terperinci serta sistematik.

“Bilangan pernyataan strategi turut dikemas kini daripada 40 kepada 30 strategi yang lebih berfokus,” katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan itu bertujuan memastikan keutamaan keselamatan negara dikenal pasti dengan lebih jelas, mengurangkan pertindihan serta memudahkan penyelarasan dan pemantauan oleh kementerian serta agensi peneraju.

Jelasnya, semua bidang tumpuan itu dikenal pasti berdasarkan penilaian terhadap trend, cabaran dan ancaman, selain keperluan pembangunan negara serta keupayaan strategik Malaysia.

Setiap bidang turut mengambil kira hubungan antara satu dimensi keselamatan dengan dimensi yang lain.

Menurut Raja Nurshirwan, 10 bidang tumpuan berkenaan diterjemahkan menerusi 30 strategi bersepadu yang akan menjadi panduan kepada kementerian dan agensi peneraju dalam merancang serta melaksanakan tindakan mengikut bidang tanggungjawab masing-masing.

Bagi memastikan pelaksanaan dasar itu dipantau dan diselaraskan dengan berkesan, beliau bekrata beberapa mekanisme turut digariskan termasuk Sistem DKN, Indeks Keselamatan Negara (IKK), latihan dan simulasi keselamatan, operasi bersepadu serta arahan pelaksanaan.

“IKK merupakan instrumen penting untuk mengukur tahap keselamatan negara dan menilai keberkesanan pelaksanaan dasar merentas pelbagai sektor menerusi pendekatan berasaskan data.

“Dapatan berdasarkan petunjuk yang ditetapkan dapat membantu kerajaan mengenal pasti kelemahan serta risiko keselamatan sebelum merancang tindakan bersesuaian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini