PETALING JAYA: Malaysia diberi kepercayaan oleh China dan negara-negara ASEAN untuk menyelaras projek kerjasama pengurusan bencana ASEAN-China bernilai kira-kira RM19.7 juta sehingga Oktober 2028.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepercayaan itu diberikan berdasarkan kemampuan serta pengalaman Malaysia dalam bidang pengurusan bencana menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Beliau berkata, projek berkenaan merangkumi latihan petugas, sokongan teknologi maklumat dan komunikasi serta pembangunan sistem penyelarasan dan arahan operasi kecemasan, termasuk aplikasi mudah alih bagi membantu pasukan di lapangan ketika bencana.
Katanya, kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi terbaharu, khususnya sistem amaran awal bagi mengenal pasti kawasan yang dijangka dilanda bencana.
“Pelan yang direncanakan ini untuk tahun 2026 hingga tahun 2030 mendapat peruntukan yang agak lumayan daripada China bagi Malaysia mengadakan penyelarasan pengurusan bencana dalam kalangan negara-negara ASEAN dan China, termasuk dalam bidang latihan dan juga penggunaan teknologi terbaharu.
“Ini merupakan kepercayaan yang utama, yang pada hemat saya harus dinakhodai oleh Malaysia atas kepercayaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kerjasama pengurusan bencana ASEAN-China sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-China mengenai Pengurusan Bencana Ke-6 di Tangerang, Indonesia hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia mempunyai pusat latihan yang canggih selain menerima pengiktirafan daripada Kumpulan Penasihat Antarabangsa Mencari dan Menyelamat (INSARAG), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, pengiktirafan itu mencerminkan kemampuan NADMA dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam melaksanakan operasi menyelamat serta pengurusan bencana, khususnya di kawasan kritikal.
“Kerjasama berkenaan juga penting bagi memastikan pasukan penyelamat dari negara berbeza dapat beroperasi bersama dengan lebih berkesan, terutama apabila bantuan perlu digerakkan merentas sempadan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia turut menjalinkan kerjasama dengan Jepun dan Republik Korea dalam aspek perkongsian teknologi, latihan serta penggunaan peralatan bagi memperkukuh keupayaan pengurusan bencana serantau.
Katanya, kerjasama dengan negara sahabat itu penting kerana keperluan bantuan tenaga kerja mungkin dapat dikendalikan oleh setiap negara, namun perkongsian kepakaran teknologi dan peralatan boleh diperkasakan menerusi kerjasama antara negara.
“Ini penting kerana dari segi manpower untuk membantu, mungkin boleh dikendalikan oleh setiap negara.
“Tetapi dari segi perkongsian teknologi, perkongsian latihan dan penggunaan peralatan, mungkin kita boleh jalinkan kerjasama antara negara ASEAN dengan negara-negara sahabat yang telah menjalin kerjasama di dalam persidangan ini,” katanya.
Sementara itu, Malaysia turut menekankan kepentingan latihan mencari dan menyelamat serta simulasi bersama di bawah Pelan Kerja ASEAN-China 2026-2030 bagi memastikan penyelarasan operasi bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Malaysia juga menggariskan keutamaan memperkukuh sistem amaran awal dan penyampaian maklumat bencana secara digital kepada penduduk di kawasan berisiko menerusi kerjasama dengan Republik Korea. – UTUSAN











