KUALA LUMPUR: Negara-negara ASEAN buat pertama kali akan mengadakan siri latihan maritim di perairan Laut China Selatan sebagai usaha memperkukuh kerjasama keselamatan serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, latihan berkenaan akan dilaksanakan bersama China dan negara-negara ASEAN menerusi pendekatan kerjasama kolektif.
Menurut beliau, langkah tersebut dibuat selepas beliau mengadakan lawatan rasmi ke China baru-baru ini, yang turut disertai pertemuan dua hala antara kedua-dua negara.
“Latihan maritim, sama ada dengan China atau mana-mana negara lain, merupakan inisiatif ASEAN yang menzahirkan pendekatan neutral dan berkecuali (non-aligned stance).
“ASEAN berpegang teguh bahawa rantau ini harus kekal aman serta mempunyai kebebasan pelayaran bagi semua pihak.
‘Latihan maritim pertama antara ASEAN dan China mencerminkan komitmen bersama ke arah keamanan, kestabilan dan persefahaman di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan persiapan akhir Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-19 (ADMM) dan ADMM-Plus ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. – UTUSAN










