9,134 graduan USM terima ijazah pada Konvokesyen ke-64

9,134 graduan USM terima ijazah pada Konvokesyen ke-64

ABDUL Rahman Mohamed (tengah) beramah mesra dengan graduan cemerlang yang menerima anugerah utama selepas sidang akhbar khas Upacara Konvokesyen ke-64 USM di Pulau Pinang. -UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sejumlah 9,134 graduan Universiti Sains Malaysia (USM) akan menerima ijazah masing-masing sempena Upacara Konvokesyen Ke-64 yang berlangsung selama sembilan hari bermula esok hingga 1 Disember ini.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, jumlah itu merangkumi 1,054 graduan Doktor Falsafah (PhD), 3,157 graduan Sarjana, 4,891 graduan Ijazah Sarjana Muda serta 30 graduan Diploma Kejururawatan.

Menurutnya, upacara konvokesyen yang merangkumi 14 sidang itu akan berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM, dengan sidang pertama disempurnakan oleh Raja Perlis merangkap Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada pukul 10.30 pagi, esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

”Sidang pertama turut menyaksikan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada Dr. Zainal Arifin Mohd. Ishak dan Profesor Emerita kepada Dr. Tan Sooi Beng.

”Selain itu, Tuanku Canselor juga akan menyempurnakan penyampaian Anugerah Pingat Emas Canselor kepada pelajar terbaik USM dalam semua lapangan,” katanya pada sidang media khas Upacara Konvokesyen ke-64 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, konvokesyen kali ini turut menyaksikan penganugerahan ijazah kepada kohort sulung enam program pengajian peringkat Sarjana yang ditawarkan universiti itu termasuk bidang Pembungkusan Semikonduktor Termaju, Pengurusan Kejuruteraan Pembuatan Termaju dan Keselamatan Siber.

Katanya, program berkenaan mencerminkan usaha USM memperkukuh penawaran pengajian dalam bidang berteknologi tinggi dan kritikal selain memenuhi keperluan industri semasa.

Dalam pada itu, tiga Pro-Canselor USM akan mempengerusikan sidang-sidang konvokesyen berkenaan dengan Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan mempengerusikan sidang kedua hingga kelima manakala Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali akan mengendalikan sidang keenam hingga kelapan.

Sementara itu, katanya, sidang kesembilan hingga ke-14 akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin manakala Majlis Perasmian Ekspo Konvokesyen (ConvEx) dijadual berlangsung pada pukul 5 petang, esok.

Abdul Rahman berkata, USM turut memperkenalkan beberapa graduan cemerlang pada hari ini yang bakal menerima anugerah utama termasuk Anugerah Pingat Emas Canselor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini