Garis panduan kubur bertingkat sedang diteliti

Garis panduan kubur bertingkat sedang diteliti

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Garis panduan pelaksanaan kubur bertingkat di Wilayah Persekutuan kini sedang disiapkan berdasarkan kajian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai usaha mengatasi kekurangan tanah perkuburan di Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, kajian itu turut meneliti model perkuburan bertingkat yang telah dilaksanakan di Singapura, Kedah dan Pulau Pinang bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kesesuaian konsep tersebut.

“Kita tidak mahu terburu-buru. Banyak perkara perlu diteliti termasuk adat, sensitiviti masyarakat dan amalan setempat. Hasil kajian ini, Insya-Allah, ia akan menjadi asas merangka garis panduan pelaksanaan kubur bertingkat.

“Pengurusan kubur bertingkat seperti di Masjid Al-Jamiul Badawi di Pulau Pinang boleh dijadikan rujukan namun pendekatannya di Wilayah Persekutuan mungkin berbeza mengikut keperluan setempat,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH–Wangsa Maju) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat membuka tapak perkuburan baharu lebih dekat dengan Kuala Lumpur memandangkan tanah perkuburan Islam di Hulu Semenyih, Selangor terletak lebih 40 kilometer dari kawasan tersebut.

Zaliha berkata, sebarang keputusan mengenai tapak perkuburan baharu hanya akan dibuat selepas proses libat urus bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mufti Wilayah Persekutuan dan penduduk setempat.

Katanya, Jawi sedang mengoptimumkan penggunaan tanah perkuburan sedia ada melalui kerja-kerja peluasan dan penyusunan semula lot melibatkan 11 tapak yang hampir penuh seperti dilaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi keperluan segera.

“Kapasiti tanah perkuburan di Kuala Lumpur semakin berkurangan. Pengisian kini telah mencapai 70 peratus dan dijangka hanya mencukupi sehingga 2029 iaitu kira-kira lima tahun sahaja lagi.

“Selain itu, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sedang mempercepatkan pembukaan tanah perkuburan Islam di Hulu Semenyih yang disasar siap pada 2028, bagi memenuhi keperluan pengebumian umat Islam di Kuala Lumpur untuk tempoh 28 tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN