KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan memaklumkan kepada Dewan Rakyat mengenai kedudukan Perikatan Nasional (PN) selepas menerima penjelasan daripada pengerusi gabungan itu.
Beliau berkata, surat telah dihantar kepada Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara berkenaan susulan kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengenai pembatalan pendaftaran gabungan itu.
“Saya pun telah menulis kepada Pengerusi PN untuk mendapat penjelasan, Insya-Allah.
“Apabila saya mendapat penjelasan daripada pengerusi, saya akan maklumkan kepada Dewan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab perkara yang dibangkitkan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta penjelasan mengenai penggunaan nama PN oleh Ahli Parlimen gabungan itu susulan kenyataan RoS.
Sany mempersoalkan penggunaan nama PN oleh Ahli Parlimen Kuala Krai ketika berucap di Dewan Rakyat, sedangkan terdapat kenyataan RoS berhubung pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan.
Beliau turut meminta penjelasan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai kedudukan Ahli Parlimen PN susulan perkembangan itu.
Sementara itu, Rayer menyokong permintaan Sany supaya perkara berkenaan diperbetulkan, termasuk penggunaan nama parti masing-masing seperti Pas, Bersatu atau Wawasan.
Beliau berkata, perkara itu perlu diberi perhatian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Sepatutnya bukan Perikatan Nasional tetapi Pas atau Bersatu atau Wawasan. Mohon petua daripada Yang Dipertua. Terima kasih,” katanya.-UTUSAN











